“HIDUP MELAYU!”
Jerkah seorang pemimpin negara di persada pentas himpunan agung anggota-anggota muda partinya. Bergema dewan besar agam itu, dengan jeritan dan sorak-sorai penyokongnya yang menyahut seruan ketua mereka.
Pemimpin itu menghunus keris panjang, entah berapa loknya. Dijulangnya tinggi, sambil penyokong-penyokongnya melihat penuh teruja. Dirapatkan keris itu ke wajah, lalu dikucupnya. Barangkali, ‘semangat’ keMelayuan membara merentas segenap urat sarafnya, dia tersenyum puas. Bangga. Dia dan penyokongnya telah berikrar untuk mempertahankan ketuanan bangsa mereka.
itu, himpunan sebuah parti Melayu. Pada zaman ini, pada era ini.
Lama dahulu , Amirul Mu’minin Saiyidina Umar al-Khattab RA mengingatkan ummat, waktu baginda ‘merasmikan’ pembukaan kota Baitulmaqdis. Titahnya tegas di hadapan ummat yang terdiri daripada pelbagai rumpun bangsa, “Kita adalah kaum yang DIMULIAKAN Allah dengan ISLAM! Barangsiapa yang mencari kemuliaan selain daripada kemuliaan yang dikurniakan Allah ini, maka mereka DIHINAKAN Allah!”
Dan lebih awal daripada itu, telah bersabda Rasul yang mulia. Baginda Nabi SAW, memberi ingatan buat sahabat-sahabat baginda, juga seluruh ummat, “Bukanlah dalam kalangan kita, mereka yang menyeru kepada Perkauman”.
Tuan Guru kami menyindir pedih, “Kiranya perbezaan bangsa diambilkira Allah SWT, tunggulah saat waktunya di Mahsyar, bangsa Melayu akan dibiarkan Allah. Kerana sepatutnya bangsa Arab terlebih baik daripada kita, bangsa yang hadirnya ISLAM di tempat mereka. Bangsa RasuluLlah SAW!”
Bangsa Yahudi tenggelam dengan impian Rasul terakhir akan zahir daripada kaum mereka, hingga mereka membutakan mata dan mentulikan telinga, menolak Hidayah Allah melalui utusannya, Baginda Nabi SAW daripada bangsa Arab. Jadilah mereka bangsa yang merempat, bangsa yang terhalau. Bangsa yang terpaksa membunuh, mengganas dan menindas demi sekeping tanah untuk mereka diami.
Bukankah yang membawa ISLAM ke Tanah Melayu dulunya, adalah pedagang-pedagang Arab dan Cina? Andai mereka datang dengan kemuliaan bangsa mereka berTuhan di hati, tentu tidak akan mereka kongsi sinar Hidayah yang mereka perolehi terlebih awal daripada masyarakat Tanah Melayu.
Tuan Guru kami berpesan, “Tiada salahnya untuk mengasihi bangsa masing-masing. Yang salahnya, kecintaan bangsa itu dijadikan AQIDAH!”. Yang salahnya adalah Kasih pada bangsa itu, diletak pada kedudukan yang sepatutnya ditempati oleh IMAN!
Kata saya pula?
Saya tidak mahu Ketuanan Melayu yang ditempikkan Pemimpin itu! Saya tidak faham, apa perlu dipertahankan Ketuanan Melayu ‘bawaan mereka’, yang telah menempatkan bangsa kami ke takah yang lebih rendah. Bukankah bangsa ‘Melayu yang itu’ sudah memerintah bumi Malaysia ini sekian tahun lamanya? Dan masih, bangsa kami menjadi 3 daripada setiap 4 keluarga termiskin di bumi yang kaya-raya dengan segala hasil-mahsulnya ini!
Bukankah bangsa Melayu yang berteriak-teriak untuk mempertahankan Ketuanan bangsanya itu jugalah, yang memporak-perandakan bahasa bangsanya sendiri? Dasar PPSMI karut, yang menggadaikan masa depan puluhan ribu anak bangsa mereka sendiri.
Bukankah mereka yang mencadangkan untuk ditubuhkan pusat-pusat hiburan bertaraf antarabangsa? Pusat yang mungkin bakal menjadi tempat anak bangsa mereka memuja nafsu!
Bukankah mereka yang merasmikan kilang-kilang arak dan membenarkan judi berleluasa!? Dan sekarang kononnya mengeluh yang betapa hebatnya gejala songsang menular dalam kalangan anak remaja bangsa.
Mereka adalah manusia yang menginginkan Kemuliaan bangsa mereka dengan sebab selain Islam.
Justeru, mereka hanya akan menempatkan bangsa mereka, bangsa aku, bangsa kamu, ke tempat yang hina disediakan Allah untuk bangsa yang mencari kemuliaan selain Islam!
Saya tidak mahu Ketuanan Melayu yang sekadar menjadi alat politik manusia-manusia rakus kuasa. Saya tidak mahu Ketuanan Melayu yang mengesampingkan asas kemuliaannya : ISLAM!
Cukuplah ‘Ketuanan’ dan Kemuliaan yang dijanjikan Allah menerusi FirmanNYA yang Mulia, di dalam Surah al-Hujuurat ayat 13 :
Yang bermaksud : Wahai Manusia! Sungguh, kami telah menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan perempuan, kemudian Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling mengenali. Sungguh, yang paling mulia di sisi Allah ialah orang yang paling berTaqwa. Sungguh, Allah maha Mengetahui dan Maha Teliti.
kredit to suarafata
No comments:
Post a Comment