KERABAT MAYA
Sunday, 8 August 2010
Petua Menghadapi Rintangan
Kepada Sahabat Dalam Kegelisahan
Bagi orang beriman itu hendaklah mengetahui, bahawa kitab Allah SWT yang di turunkan kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan malaikat Jibrail, adalah merupakan roh hidayah dalam alam semesta ini dan yang telah merubah sejarah kemanusiaan.
Justeru itu antara orang yang beriman dan Al Quran mestilah ada hubungan yang kuat, ia harus hidup di bawah naungan Al Quran dan ia tidak bosan-bosan membaca dan memahami isi kandungan di dalamnya. Sebab Al Quran merupakan tali yang menghubungkan antara Allah dan hambaNya.
Al Quran adalah kitab yang mulia, sebagai rahmat dan petunjuk bagi umat Islam. Hal ini terbukti sebagaiman firman Allah yang bermaksud:
“ Inilah kitab yang Kami turunkan kepada engkau, supaya engkau mengeluarkan manusia dari kegelapan kepada cahaya yang terang dengan izin Tuhan Yang Maha Kuasa Lagi Maha Terpuji.” ( Ibrahim: 1 )
Firman Allah SWT yang bermaksud:
“ Sesungguhnya Al Quran ini memberikan petunjuk kepada jalan yang lurus dan memberi khabar gembira kepada orang-orang mukmin yang mengerjakan amal soleh bahawa bagi mereka ada pahala yang besar.” ( Al Isra’: 9 )
Bagi orang yang beriman, ia akan mengetahui bahawa Al Quran mempunyai tugas kemanusiaan. Di samping itu juga Al Quran adalah ubat yang hakiki bagi penyakit kegelisahan manusia. Al Quran adalah jawapan yang benar bagi tuntutan manusia yang hakiki. Manusia tidak akan mengetahui hakikat kemanusiaannya dan tidak akan mengetahui jalan hidup yang lurus kecuali dengan petunjuk Al Quran, firman Allah yang bermaksud:
“ Dan kami turunkan Al Quran suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang beriman dan Al Quran itu tidaklah menambah kepada orang-orang yang zalim kecuali kerugian.” ( Al- Isra’: 82 )
Al Quran juga merupakan undang-undang hukum Allah yang menjelaskan tentang akidah seorang muslim, yang menegaskan tentang syariah Allah, serta mengarahkan manusia kepada peradaban yang tinggi. Justeru itu membaca Al Quran dan mengetahui maknanya adalah suatu kewajiban bagi setiap orang Islam, sehingga dengan demikian seseorang itu tidak putus hubungannya dengan sumber yang memberi hidayah, serta tidak jauh dari sumber keimanan. Rasulullah bersabda yang bermaksud:
“ Barangsiapa yang membaca Al Quran dan menerangkannya, lalu ia menghalalkan yang dihalalkan Al Quran dan ia mengharamkan yang diharamkan Al Quran. Tentulah akan memasukkan ia ke dalam syurga dan Allah memberi syafaat sebanyak sepuluh orang dari keluarganya yang sepatutnya mereka itu wajib mendapat seksa nereka.” ( HR. Tarmizi )
Orang Islam hendaklah wajib mengetahui bahawa imannya itu tidak akan kuat, rohnya tidak akan tenang, kecuali bila ia mahu membaca dan memahami Al Quran. Pada saat itulah peribadi seorang Muslim itu akan betul-betul kuat keimananya dan akan kelihatanlah budi pekerti yang di ajarkan oleh Al Quran itu baik dalam ucapan mahupun dalam perbuatan.
Sabda Rasulullah yang bermaksud:
“ Perumpamaan orang Muslim yang membaca Al Quran bagaikan buah limau yang harum baunya dan lazat rasanya.” ( HR. Al-Khamsah )
Al Quran juga dapat mengarahkan kepada pembaca untuk memperhati tentang hakikat alam semesta dan menerangkan cara berhubung dengan sesama manusia. Dengan demikian maka seseorang itu tidak akan hidup diatas dunia dengan mata tertutup dari petunjuk Allah akan tetapi dapat mempengaruhi dan memperbaiki alam persekitaran dan juga masyarakat.
Justeru itu tidak sepatutnya seorang Muslim menjauhkan diri dari Al Quran atau melupakannya. Al Quran adalah sumber menghimpun seluruh hakikat Islam. Jika terputus hubunganya dengan Al Quran maka akan keringlah sumber keimanan dalam diri dan hilanglah keindahannya. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“ Sesungguhnya orang yang di pangkal lehernya tidak ada bekas bacaan Al Quran, perumpamaannya adalah seperti sebuah rumah yang runtuh.” ( HR.-Tarmizi )
“ Ditunjukkan kepadaku dosa-dosa umatku, maka aku tidak melihat dosa yang lebih besar daripada suatu surah Al Quran dan satu ayat daripadanya yang didatangkan kepada seseorang, kemudian ia melalaikannya.” ( HR Tarmizi & Abu Daud )
Bagaimanakah cara yang sebenar seorang muslim itu membaca kitab Allah? Perlu diketahui membaca Al Quran adalah supaya memperhatikan dengan sungguh-sungguh terhadap kandungannya, membaca bukan sekadar memperbanyakkan bacaan, akan tetapi hendaklah mengerti dan merenung petunjuk atau hidayah dari ayat-ayat tersebut sehingga seseorang itu mengetahui betapa agungnya Al Quran. Sebagaiman firman Allah yang bermaksud:
“ Kalaulah Al Quran kami turunkan kepada sebuah gunung sudah tentu engkau akan melihat gunung itu tunduk dan terpecah belah kerana takutnya kepada Allah. Itulah perumpamaan yang Kami buat untuk manusia, supaya mereka dapat memikirkannya.” ( Al- Hasyr: 21 )
Seorang muslim tidak akan menjadikan Al Quran sebagai bahan nyanyian yang tidak bererti. Kerana membacanay secara main-main adalah dosa besar yang hanya merendahkan keagungan Al Quran dan akan dapat menghalang nur Al Quran masuk ke dalam hati sanubari seseorang.
Dari Abdullah ra berkata: Rasulullah bersabda kepadaku. “ Bacalah kepadaku.” Aku berkata , akau bacakan kepadamu dan kepadamu diturunkannya ya Rasulullah? Baginda bersabda: “ Aku ingin mendengarkannya dari orang lain. “ Abdullah berkata: “ Aku membacakan surah An Nisa’ sampai pada ayat yang maksudnya: “ Bagaimanakah ketika Kami datangkan kepada tiap umat seorang saksi dan engkau Kami jadikan saksi atas umat ini? Baginda bersabda: “ Cukup hingga disitu sahaja, maka aku melihat kedua mata baginda bercucuran airmata.” ( HR Bukhari & Muslim )
Dari itu wahai orang-orang yang beriman, jangan biarkan masa berlalu, sedangkan bacaan Al Quran tidak pernah keluar dari bibirmu. Hiasilah rumahmu dengan bacaan Al Quran, sebab rumah yang tidak pernah didengarkan bacaan Al Quran diumpamakan oleh Rasulullah SAW seperti kubur.
Sumber Dari:Ras Dais
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment