KERABAT MAYA

Thursday, 7 October 2010

Mengapa Hati Tidak Tenang ?







Bukan Islam : Siapa Tuhan kamu ?



Aku : Tuhan aku adalah ALLAH.



Bukan Islam : Di mana Tuhan kamu ?



Aku : ALLAH Tuhan ku tidak bertempat.



Bukan Islam : Bagaimana rupa Tuhan kamu ?



Aku : Rupa ALLAH tidak sama dengan rupa makhluk ciptaan-NYA dan ALLAH tidak boleh dilihat dengan mata kepala. Kerana jika seorang makhluk yang lemah boleh menggambarkan rupa fizikal Tuhan, itu maknanya yang digambarkan itu lebih lemah dari makhluk. Pastinya yang lemah itu bukan Tuhan dan tidak layak menjadi Tuhan.



Bukan Islam : Kalau begitu, Tuhan kamu tidak boleh dilihat maka pastinya Tuhan itu tidak wujud.



Aku : Awak ada akal ?



Bukan Islam : Ada, saya ada akal. Setiap kali exam, saya dapat markah yang tinggi.



Aku : Boleh tunjukkan mana akal awak ?



Bukan Islam : Ini dalam kepala saya. Saya ada otak, otak itulah akal saya.



Aku : Lembu juga ada otak, tetapi lembu tidak ada akal. Otak itu bukan akal. Ada otak tak semestinya ada akal.



Bukan Islam terdiam.



Aku : Akal sesuatu yang tak nampak. Tetapi tanda adanya akal ialah dari segi pencapaian keputusan exam. Begitu juga dengan Tuhan. Tuhan itu terlalu agung hingga kita tak mampu nak bayangkan rupanya bagaimana. Maka kita tak nampak ALLAH. Tetapi ALLAH itu wujud dan kita tahu ALLAH itu wujud melalui tanda-tanda yang dicipta-NYA. Antara tanda-tanda kewujudan ALLAH ialah ALLAH mencipta akal, perasaan, rasa manis, pahit, masam dan sebagainya yang kita tak nampak tetapi kita tahu ianya ada. Tiada yang boleh mencipta kesemua itu melainkan suatu kuasa yang hebat dan agung.



Bukan Islam : Maksud awak, Tuhan yang membuat kita sebagai manusia ?



Aku : Ya, ALLAH adalah Tuhan yang membuat manusia dan semua makhluk yang ada di dunia. Maka sebab itu kita wajib menyembah ALLAH. Apa yang berlaku sekarang, orang membuat patung dan dijadikan tuhan untuk disembah. Sedangkan patung tersebut tidak mampu berbuat apa-apa. Andainya ada tahi burung jatuh ke hidung patung yang dianggap tuhan, patung tersebut sendiri tidak mampu membersihkannya. Lalu untuk apa kita sembah sesuatu yang kita buat sendiri dan benda tersebut tidak mampu membersihkan dirinya sendiri ? Hakikatnya kita melawan fitrah naluri kita sebagai manusiakerana kita HANYA ingin mempunyai Tuhan yang Maha Kuasa, bukannya patung yang kita ukir dan reka.



Bukan Islam : Bagaimana saya hendak memeluk Islam ?



************** END***************



Hidup ber-Tuhan adalah fitrah semulajadi setiap insan. Fitrah semulajadi ini letaknya di hati. Dari hati inilah timbulnya perasaan atau roh.



Malah semua insan, tak kira Islam atau bukan Islam, mereka mengakui kewujudan akal dan perasaan, walaupun ianya tidak dapat dilihat. Akal adalah garis pemisah antara manusida dengan haiwan. Sementara nafsu adalah garis pemisah anatar manusia dengan malaikat. Allah menjadikan malaikat hanya mempunyai akal tanpa nafsu. Allah menciptakan haiwan dengan nafsu tanpa akal. Dan Allah menciptakan manusia bersama-sama nafsu dan akal. Begitulah hebatnya kekuasaan ALLAH yang menjadi Tuhan yang hanyasanya layak disembah.



Dan perasaan yang diciptakan ALLAH dalam diri manusia ini pula amat peka sehingga boleh bertindakbalas secara spontan terhadap perubahan yang berlaku dipersekitaran. Perasaan tidak akan bertindakbalas atas perkara-perkara yang biasa, sebaliknya perasaan cepat bertindakbalas atas perkara yang diluar kebiasaannya. Sebagai contoh :



a. Bila kita berhadapan dengan sesuatu yang menakutkan, spontan kita rasa gerun, ngeri dan takut.

b. Bila berhadapan dengan sesuatu yang kotor, spontan kita rasa jijik, geli dan menghina.

c. Bila berhadapan dengan sesuatu yang indah, spontan kita rasa suka, senan, tenang dan terhibur.

d. Bila berhadapan dengan seseorang yang berwibawa dan berpangkat, spontan kita rasa rendah diri, malu dan menghormati.



Begitulah sifat perasaan yang telah ALLAH cipta dalam diri kita. Hasil dari rangsangan inilah maka manusia akan bertindak dan mencetus perbuatan-perbuatan sebagai tindakbalas. Pendekata, tindakan lahiriah manusia sama ada dari segi perbuatan fizikal dan percakapan, adalah terhasil dari perasaan atau hati yang telah dirangsang oleh faktor-faktor persekitaran. Apa yang tergambar secara lahiriah, adalah gambaran apa yang dididik atau dirangsang di hati.



1. Kalau roh atau hati atau perasaan boleh rasa malu dengan manusia yang tahu akan rahsianya, mengapa kita tidak rasa malu dengan ALLAH sedangkan ALLAh itu Maha Menngetahui dengan sifat Ilmu-NYA ? Firman ALLAH SWT :



DIA (ALLAH) mengetahui yang tersembunyi dan yang nyata. (Surah Al A’la : 7)



2. Kalau roh atau hati atau perasaan boleh rasa gerun dan hebat dengan manusia yang mempunyai kuasa, mengapa kita tidak rasa rasa gerun, hebat, takut dna gentar dengan ALAH sedangkan ALLAH itu Maha Kuasa, Maha Hebat ? Sedangkan kuasa ALLAH itu, andainya ALLAH kata jadi, maka akan terus terjadi. Firman ALLAH SWT :



dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. ( Surah Al Maaidah : 17)



3. Kalau roh atau hati atau perasaan boleh rasa takut pada undang-undang ciptaan manusia sehingga kita mematuhi undang-undang jalanraya agar tidak terlibat dengan kemalangan, mengapa kita tidak takut kepada azab neraka ALLAH sehingga kita tergamak melakukan dosa dan maksiat seperti berzina, mendedahkan aurat, memfitnah, riya’, takabbur dan lain-lain lagi ? Sedangkan azab seksaan ALLAH di neraka-NYA amat pedih dan berkekalan. Firman Allah SWT :



Allah menjanjikan orang-orang munafik lelaki dan perempuan serta orang-orang kafir dengan Neraka Jahanam, mereka kekal di dalamnya. Cukuplah Neraka itu menjadi balasan mereka dan Allah melaknatkan mereka dan bagi mereka azab seksa yang kekal. (At Taubah : 68)



4. Kalau roh atau hati atau perasaan boleh rasa cinta dan sayang kepada seorang lelaki/perempuan sehingga kita tak lalu makan, tidur tak lena, hilang daya tumpuan. Mengapa kita tidak rasa sayang, rasa rindu dan rasa cinta kepada ALLAH sedangkan sifat Ar Rahim (kasih) ALLAH melangkaui rasa kasih dan sayang serta cinta setiap makhluk di dunia, kerana walau sebesar mana kita menderhakai-NYA namun pintau taubta masih dibuka luas buat kita oleh ALLAH. Firman ALLAH SWT :



Sesungguhnya Allah telah menerima taubat Nabi, orang-orang muhajirin dan orang-orang anshar yang mengikuti Nabi dalam masa kesulitan, setelah hati segolongan dari mereka hampir berpaling, kemudian Allah menerima taubat mereka itu. Sesungguhnya ALLAH maha pengasih lagi Maha Penyayang kepada mereka, (SURAT AT TAUBAH (Pengampunan) ayat 117)



5. Kalau roh atau hati atau perasaan boleh rasa berterima kasih kepada orang yang memberikan hadiah atau majikan yang memberikan gaji, mengapa kita tidak boleh bersyukur dengan nikmat pemberian ALLAH yang terlalu banyak. Lebih banyak dari apa yang pernah diberikan oleh manusia kepada kita. Firman Allah SWT :



(sebenarnya) Kamilah yang memberi rezeki kepada kamu dan kepada mereka dan janganlah kamu hampiri kejahatan-kejahatan (zina) yang terang daripadanya dan yang tersembunyi dan janganlah kamu membunuh jiwa yang telah diharamkan Allah (membunuhnya) melainkan dengan jalan yang hak (yang dibenarkan oleh Syarak). Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu memahaminya. (Al An’am : 151)



Dan Dia telah memberi kepada kamu sebahagian dari tiap-tiap apa jua yang kamu hajati dan jika kamu menghitung nikmat Allah nescaya lemahlah kamu menentukan bilangannya. Sesungguhnya manusia (yang ingkar) sangat suka menempatkan sesuatu pada bukan tempatnya lagi sangat tidak menghargai nikmat Tuhannya (Ibrahim : 34)



6. Kalau roh atau hati atau perasaan boleh rasa senang, rasa lazat, rasa gembira dengan nikmat di dunia seperti nikmat berrumah mewah, nikmat makanan lazat, mengapa kita tidak rasa senang, lazat dengan syurga ALLAH di akhirat, lantas kita berusaha sungguh-sungguh untuk mendapat syurga ALLAH ?



(Tinggal menetap) di dalam Syurga-syurga yang penuh nikmat. (12) (Di antaranya) sekumpulan besar dari umat-umat manusia yang terdahulu; (13) Dan sebilangan kecil dari orang-orang yang datang kemudian. (14) (Mereka duduk di dalam Syurga itu) di atas takhta-takhta kebesaran yang bertatahkan permata; (15) Sambil berbaring di atasnya dengan berhadap-hadapan. (16) Mereka dilayani oleh anak-anak muda lelaki yang tetap kekal (dalam keadaan mudanya), yang sentiasa beredar di sekitar mereka; (17) Dengan membawa piala-piala minuman dan tekoh-tekoh serta piala atau gelas yang berisi arak (yang diambil) dari sungainya yang mengalir. (18) Mereka tidak merasa pening kepala dan tidak pula mabuk dengan sebab menikmatinya. (19) Dan juga (dibawakan kepada mereka) buah-buahan dari jenis-jenis yang mereka pilih, (20) Serta daging burung dari jenis-jenis yang mereka ingini. (21) Dan (mereka dilayani) bidadari-bidadari yang cantik parasnya, (22) Seperti mutiara yang tersimpan dengan sebaik-baiknya. (23) (Semuanya itu) sebagai balasan bagi (amal-amal baik) yang mereka telah kerjakan. (24) Mereka tidak akan mendengar dalam Syurga itu perkataan yang sia-sia dan tiada pula sesuatu yang menyebabkan dosa; (25) Mereka hanya mendengar ucapan: Selamat! Selamat! (dari satu kepada yang lain). (26) Dan puak kanan, alangkah bahagianya keadaan puak kanan itu? (27) Mereka bersenang-lenang di antara pohon-pohon bidara yang tidak berduri. (28) Dan pokok-pokok pisang yang tersusun rapi buahnya, (29) Dan naungan yang tetap terbentang, (30) Dan air yang sentiasa mengalir, (31) Serta buah-buahan yang banyak, (32) Yang tidak putus-putus dan tidak pula terlarang mendapatnya, (33) Dan tempat-tempat tidur yang tertinggi keadaannya. (34) Sesungguhnya Kami telah menciptakan isteri-isteri mereka dengan ciptaan istimewa, (35) Serta Kami jadikan mereka sentiasa dara (yang tidak pernah disentuh), (36) Yang tetap mencintai jodohnya, serta yang sebaya umurnya. (37) (Semuanya itu disediakan) bagi puak kanan; (38) (Al Waqiah : 12 – 38 )



Dan pelbagai peristiwa, pengalaman, perbandingan yang boleh kita buat akan perihal tindakbalas roh atau hati atau perasaan yang menzahirkan tindakan perbuatan atau percakapan lahiriah.



Persoalan yang timbul di sini ialah ….. MENGAPA ROH ATAU HATI ATAU PERASAAN MEDAH TERANGSANG DENGAN MANUSIA DAN DUNIA, TETAPI TIDAK TERANGSANG DENGAN ALLAH DAN AKHIRAT ?



Kalau hati boleh terangsang dengan manusia dan dunia sehingga mampu melakukan perkara-perkara yang di luar batas akhlak dan adat tatasusila. Mengapa hati tidak terangsang dengan ALLAH dan akhirat sehinga mampu melaksanakan segala titah perintah ALLAH sambil meninggalkan segala larangan ALLAH ?



Kalau hati terangsang dengan ALLAH dan akhirat, pastinya hidup umat manusia di dunia ini, aman damai, berkasih sayang, tiada hasad dengki, tolong menolong, bantu-membantu dan 1001 macam kebaikan dan keindahan akan terzahir. Tidak akan ada lagi gejala rasuah, rogol, buang bayi, zina, judi, arak dan 1001 macam jenayah mungkar dan maksiat.



Sebaliknya, apa yang berlaku, sehari-harian kita dihidangkan dengan berita-berita yang mengguris hati akan perlakuan tidak berakhlak khususnya di kalangan para remaja. Ini sebagai bukti bahawa hati dan jiwa mereka tidak terangsang dengan ALLAH dan akhirat. Mereka sudah tidak yakin akan kewujudan ALLAH sebagai Tuhan yang hanyasanya layak di sembah. Mereka sudah tidak yakin dengan janji azab neraka ALLAH yang Maha Azab lagi Maha Pedih. Lantas mereka bertuhankan syaitan dan nafsu dalam memenuhi kelazatan nikmat dunia yang bersifat sementara sambil menzalimi makhluk yang lain.



Sewaktu jasad manusia di cipta dan sebelum roh ditiupkan ke dalam jasad, roh sememangnya sudah bersumpah untuk taat setia keapada ALLAH, sebagaimana dikisahkan di dalam Al Quran :



Tuhan bertanya kepada roh, “Bukankah AKU Tuhan kamu?”, roh menjawab, “Ya, kami bersaksikan, Engkaulah Tuhan kami.” ( Al A’raf : 172)



Tetapi itu sewaktu roh masih bebas, belum tersangkar di dalam jasad lahir. Apabila ALLAH memasukkan roh ke dalam jasad, maka roh terkurung bersama nafsu yang sentiasa mengajak kea rah kejahatan. Lebih-lebih lagi nafsu dibantu pula oleh syaitan yang sememangnya memusuh yang nyata bagi manusia. Maka sejauh mana hati atau roh atau perasaan akan terangsang dan sekuat mana rangsangannya akan menghasilkan tindakbalas lahiriah, adalah bergantung sejauh mana kekuatan hati atau roh atau perasaan tersebut melawan tentangan dari nafsu dan syaitan.



Andainya kuat roh, maka kuatlah tentangan terhadap nafsu dan syaitan, kuatlah rasa rangsangan dengan ALLAH dan akhirat, maka banyaklah perkara makrufat yang akan lahir dari diri individu tersebut. Suami akan bertanggungjawab menyayangi isteri dan anak-anak. Isteri akan setia kepada suami dan mendidik anak-anak. Anak-anak akan taat kepada ibu bapa dan menghormati mereka. Masyarakat akan saling berkasih-sayang, bantu-membantu. Si kaya menjadi bank kepada si miskin, membantu menampung sara hidup si miskin dengan kekayaannya. Si miskin akan merasa sabar dan redha dengan kemiskinannya. Pendakwah akan menyampaikan risalah dakwah dengan ikhlas tanpa meletakkan wang ringgit sebagai imbuhan. Yang di dakwah pula menerima seruan dakwah dengan hati terbuka. ALANGKAH INDAHNYA MASYARAKAT YANG SEBEGINI.



TETAPI ….. Andainya roh lemah, maka tewaslah roh dengan hasutan dan bujukan nafsu dan syaitan, terasa hambarlah rangsangan dengan ALLAh dan akhirat, sebaliknya roh atau hati akan lebih terangsang dengan manusia dan dunia, maka akan terzahirlah tindakan yang luar batas akhlak dan syariat. Sebagaimana firman Allah :



Lahirlah kerosakan di daratan dan di lautan oleh kerana apa yang diusahakan oleh tangan manusia, agar mereka merasai azab. ( Ar Rum : 41)



Lihat sahaja laporan akhbar. Majistret yang sepatutnya menegakkan undang-undang juga ditankap kerana rasuah. Polis yang sepatutnya menjaga keamanan, terlibat dengan pembunuhan. Ibu yang sepatutnya menyayangi anaknya, redha melihat teman lelaki membunuh anak kandungnya. Bayi yang lahir atas perlakuan zina, dibuang dimerata tempat setiap hari. Anak gadis lari mengikut teman lelaki tanpa menghiraukan ibu bapa. Rompakan berlaku setiap hari. Dan 1001 berita yang mengguris hati, hasil dari lemahnya roh apabila berhadapan dengan syaitan dan nafsu.



Timbul pula persoalan kedua. Bagaimana hendak menguatkan roh ? Antara perkara-perkara yang boleh menguatkan roh ialah :



1. Menuntut ilmu, kerana dengan ilmu kita dapat membezakan antara yang halal dan yang haram.

2. Perbanyakkan bertaubat. Taubat akan mencuci dosa-dosa yang dilakukan . Maka hati dan roh akan sentiasa bersih dan bersdia menerima nur iman.

3. Memperbanyakkan ibadah-ibadah sunat khususnya zikir wirid kerana zikir ini akan mendidik kita untuk selalu mengingati ALLAH.

4. Mujahadah melawan nafsu. Kita berusaha gantikan sifat mazmumah (sifat terkeji) dalam diri dengan sifat mahmudah (sifat terpuji).

5. Menyebarkan ilmu berkaitan iman kepada masyarakat agar masyarakat akan terdidik dan suasana persekitaran yang laksana taman-taman syurga terzahir.

6. Berdoa kepada ALLAH SWT.



Semoga kita berusaha memperbaiki diri kita. Dan kita jadikan hari esok sebagai hari yang lebih baik buat diri kita berbanding hari-hari yang telah berlalu.



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...