KERABAT MAYA
Sunday, 3 October 2010
JANGAN BERSEDIH WAHAI PENDAKWAH
Iktibar Daripada Kisah Para Rasul
Dalam menempuh liku-liku perjuangan, kadang kala keyakinan menjadi goyah. Kadang kala terasa ingin berehat daripada amanah ini. Boleh jadi kerana merasa sedikitnya insan yang menyahut seruan dakwah ini. Justeru, diri merasa amat kerdil dan sepi dalam berjuang. Boleh jadi kerana rintangan yang terpaksa dihadapi. Amat berat sehingga terpaksa berpenat lelah dan berkorban apa sahaja. Tiada yang pelik kerana Rasulullah s.a.w. juga pernah berduka kerana mehnah dan tribulasi yang terpaksa ditempuh bersama para sahabat ridhwanullah ajma’in. Lantas Allah S.W.T. menjemput baginda mengembara dalam pakej satu malam dari Makkatul Mukarramah ke Baitul Maqdis kemudian di angkat ke Sidratul Muntaha. Daripada peristiwa inilah, Rasulullah dan para sahabat menjadi lebih bermotivasi untuk berjuang di jalan Allah S.W.T.
Banyak pengajaran yang diperoleh oleh Rasulullah dan ummat Islam daripada peristiwa ini. Di antaranya ialah ganjaran yang baik bagi orang-orang yang beriman dan pembalasan yang buruk bagi orang-orang yang kufur kepada Allah S.W.T. Inilah berita gembira bagi seluruh ummat Islam. Satu perkara yang membakar semangat Rasulullah ialah dapat bertemu dengan sekalian Rasul. Setiap Rasul menghadapi mehnah dan tribulasi yang bukan sedikit jika dibandingkan dengan apa yang dihadapi oleh manusia biasa. Marilah kita mengambil sedikit iktibar pengubat duka dengan menjiwai apa yang dihadapi oleh para Rasul.
Nabi Nuh a.s.
Janganlah kita bersedih kerana sedikitnya pengikut atau manusia yang sudi menerima risalah Islam. Nabi Nuh a.s. telah berdakwah selama 950 tahun! Tempoh yang begitu panjang. Malangnya, hanya 80 orang yang mengikuti ajarannya. Jika kita membahagikannya dengan tahun bererti dalam sepuluh tahun hanya seorang yang beriman! Apa yang lebih memeritkan, anaknya sendiri tidak mahu bersama dengannya walaupun di saat nyawa di hujung tanduk ketika bala air bah besar.
Nabi Luth a.s.
Janganlah kita bersedih lantaran ada di antara keluarga kita yang belum mengikuti atau menerima perjuangan yang kita dokong. Mari kita selami kedukaan Nabi Luth a.s. Baginda beriman kepada bapa saudaranya Nabi Ibrahim dan mendampinginya dalam semua perjalanan dan sewaktu mereka berada di Mesir. Baginda berdepan dengan masyarakat yang amat rosak akhlaknya terutama merompak dan homoseksual. Lebih mendukacitakan, baginda dikhianati oleh isterinya sendiri yang kufur kepada Allah dan RasulNya.
Firman Allah S.W.T yang bermaksud:
“Allah membuat isteri Nuh dan isteri Luth perumpamaan bagi orang-orang kafir. Keduanya berada di bawah pengawasan dua orang hamba yang soleh di antara hamba-hamba Kami; lalu kedua isteri itu berkhianat kepada kedua suaminya, maka kedua suaminya itu tidak dapat membantu mereka sedikit pun dari (seksa) Allah; dan dikatakan (kepada keduanya): Masuklah ke neraka bersama orang-orang yang masuk neraka.”
(Surah at-Tahrim : 10)
Nabi Ibrahim a.s.
Nabi Ibrahim a.s. berdepan dengan kaumnya yang enggan menerima ajaran Islam. Baginda juga diperintahkan oleh Allah S.W.T. untuk member peringatan kepada Raja Namrud yang mengaku sebagai Tuhan. Dakwah Nabi Ibrahim kepada kaumnya bukan sahaja tidak diterima bahkan akhirnya beliau dihumban ke dalam api besar yang marak. Allah S.W.T. menyelamatkan Nabi Ibrahim a.s. daripada kejahatan kaumnya dan juga Raja Namrud sekalipun bapanya sendiri tidak sedikit pun menghulurkan pertolongan kepada baginda.
Nabi Isa a.s.
Nabi Isa putera Maryam hanya mempunyai 12 orang pengikut yang setia. Merekalah yang disebut sebagai al-Hawariyyun di dalam al-Quran.
Nabi musa a.s.
Nabi Musa a.s. berdepan dengan Firaun, seorang raja yang zalim dan mengaku sebagai Tuhan. Firaun mempunyai kekecualian iaitu memelihara Nabi Musa a.s. sejak kecil yang merupakan bayi daripada Bani Israel. Dia tidak membunuh Nabi Musa setelah dipujuk oleh isterinya, Asiah. Seorang permaisuri yang beriman walaupun berada di sisi suami yang sangat kejam dan kufur. Menerima wahyu daripada Allah, Nabi Musa diperintahkan untuk berdepan dengan Firaun yang juga merupakan bapa angkatnya. Mulai dengan hujah yang baik, akhirnya pembalasan Tuhan sampai kepada Firaun yang tetap kufur kepada Allah.
Nabi Muhammad s.a.w.
Nabi Muhammad s.a.w. sebelum diangkat menjadi Rasul begitu disayangi oleh kaum kerabatnya dan masyarakat Quraisy di Makkah. Namun, setelah baginda menyampaikan seruan Ilahi, Abu Lahab adalah penentang yang paling awal di kalangan Kaum Musyrikin Makkah. Abu Lahab adalah bapa saudara baginda sendiri yang begitu baik dengan baginda sejak kecil lagi. Bayangkan betapa sedihnya Rasulullah s.a.w. berdepan dengan orang yang dikasihi dan pernah mengasihinya.
Abu Talib juga adalah bapa saudara baginda yang telah memelihara dan membesarkan baginda sejak kecil setelah kewafatan ibu dan datuknya. Abu Talib mengasuh Nabi seperti anaknya sendiri. Beliau juga tetap mengasihi Nabi s.a.w. selepas kerasulan baginda walaupun beliau tidak bersama dalam perjuangan Islam. Beliau membela dan mempertahankan Rasulullah daripada kejahatan Kaum Musyrikin Makkah. Namun, hidayah milik Allah. Tetapi akhirnya, beliau meninggal dunia tanpa syahadah. Itulah yang ditangisi oleh baginda s.a.w. Sebaik manapun perangai manusia tetapi menafikan keEsaan Allah S.W.T., dia tetap manusia yang khianat dan zalim. Zalim dan khianat kepada Tuhan yang menciptakannya.
Betapa Nabi Muhammad s.a.w. begitu kuat ditentang sehingga orang buta dan orang-orang tua turut mencaci dan menghina baginda s.a.w. Bahkan kanak-kanak turut diperalatkan oleh mereka yang kufur untuk menghina batang tubuh insan yang paling mulia itu seperti dalam peristiwa Rasulullah pergi ke Ta’if.
Ujian Daripada Allah
Allah Ta’ala menguji hamba-hambanya. Orang-orang yang beriman, apabila diuji mereka bersabar dan bertambah iman mereka. Makin kuat diuji makin dia mengingati Allah. Bersabarlah dan berdoa. Firman Allah S.W.T.:
"..Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?" Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada ugama Allah).
(Surah Al-Baqarah : 214)
"..Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; "Kami telah beriman," sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya kami telah menguji org2 yg sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui org2 yg benar dan sesungguhnya Dia mengetahui org2 yg dusta."
(Surah Al-Ankabut : 2-3)
"..Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar."
(Surah Al-Baqarah : 155)
Hidayah Milik Allah
Janganlah bersedih kerana kurangnya manusia bersama dengan kita atau tiadanya insan yang kita sayang bersama mendokong perjuangan ini. Sesungguhnya tugas kita hanyalah memberi peringatan. Sedang hidayah adalah milik Allah. Dia berikan kepada sesiapa yang dikehendakinya. Jangan kita menilai keberjayaan dakwah pada hasilnya tetapi pada usahanya dan niatnya.
“Maka, berikanlah peringatan (Wahai Muhammad, kepada manusia, dan JANGANLAH BERDUKACITA kiranya ada yang menolaknya), kerana sesungguhnya engkau hanyalah pemberi ingatan. Bukanlah engkau seorang yang berkuasa memaksa mereka (menerima ajaran Islam yang engkau sampaikan itu). Akan tetapi, sesiapa yang berpaling (dari kebenaran) serta kufur ingkar... Maka Allah akan menyeksanya dengan azab seksa yang sebesar-besarnya.”
(Surah Al-Ghasyiyah : 21-24)
"Sesungguhnya kamu tidak akan dapat memberi petunjuk kepada orang yang kamu kasihi, tetapi Allah memberi petunjuk kepada orang yang dikehendaki-Nya, dan Allah lebih mengetahui orang-orang yang mahu menerima petunjuk."
(Surah Al-Qasas : 36)
Namun, Allah tidak menzalimi makhluknya. Dia telah mengutuskan para Rasul dan menurunkan Kitab Al-Quran sebagai panduan hidup manusia.
"Dan sesungguhnya Kami telah mengutuskan Rasul pada tiap-tiap umat (untuk menyerukan): sembahlah Allah (sahaja) dan jauhilah taghut itu. Maka di antara umat itu ada orang-orang yang diberi petunjuk oleh Allah dan ada pula di antaranya orang-orang yang telah pasti kesesatan baginya."
(Surah An-Nahl : 36)
“Dan jiwa serta penyempurnaannya (penciptaannya) maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu jalan kefasikan dan ketaqwaannya. Sesungguhnya beruntunglah orang yang menyucikan jiwa itu dan sesungguhnya rugilah orang yang mengotorkannya.”
(Surah Asy-Syams : 7-10)
LA TAHZAN MA’AKALLAH
Jangan Bersedih! Sesungguhnya Allah sentiasa bersamamu... SYURGA menantimu... RedhaNya mengiringimu.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
assalamualaikum..
ReplyDeletemaaf,ada khilaf dekat no. utk ayat surah al qasas,ayat y ditulis 36 kan..ayt sebenar 56..