KERABAT MAYA
Thursday, 23 September 2010
Siapakah ulama?
Akhir-akhir ini ramai orang telah memperkatakaan berkenaan ulama, malah ramai yang menerima ulama mengikut tafsiran sendiri, tentunya pada terjemahan bahasa.
Menurut terjemahannya, ulama (perkataan jamak-plural) berasal dari perkataan tunggalnya 'alimun. Makna 'alimun ialah seorang alim atau orang pandai. Maka ulama (ramai) ertinya orang-orang alim. Boleh juga diertikan sebagai cendikiawan, ilmuan atau cerdik pandai.
Jika berdasarkan bahasa semata-mata, siapa sahaja yang alim walau dalam bidang ilmu apapun, boleh dipanggil ulama. Tidak kira apa bidang sama ada politik, teknologi, pendidikan, pertanian malah di bidang yang tidak baik seperti pakar menipu pun boleh disebut ulama. Inilah hasilnya jika bersandar kepada makna bahasa semata-mata.
Mungkin juga tidak salah bersandar kepada erti lahir ulama itu saja. Tetapi mari kita lihat apa yang dimaksudkan oleh Allah SWT berkenaan ulama, agar itulah ulama yang benar, yang membawa kebenaran dan boleh diikuti kebenarannya.
Firman Allah SWT: "Sesungguhnya yang takut kepada Allah di kalangan hamba-hambaNya ialah ulama." (Fathir: 28)
Menurut Abu Darda' r.a , "Tidak dianggap seseorang itu alim sehingga dia beramal dengan ilmunya."
Kalimah "Innama"-sesungguhnya- merupakan kalimah penegasan. Maknanya ayat ini menegaskan bahawa ulama semestinya orang yang takut kepada Allah. Sekiranya seseorang tidak takut kepada Allah, walaupun ilmunya banyak, dia bukanlah ulama sebenar.
Kalau hanya dengan menghafal nas samada daripada Al Quran atau hadis boleh dianggap ulama, maka orang awam yang hafal sedikit sebanyak Al Quran dan hadis pun boleh digelar ulama. Tetapi Allah menegaskan, ulama hanyalah mereka yang takut kepada Allah.
Begitu juga jika seseorang itu ilmunya tinggi, berjaya hingga mendapat kelayakan atau ijazah di bidang Al Quran dan hadis, usuludin, tasawuf dan sebagainya, tetapi tidak takut kepada Allah, belum boleh dikategorikan sebagai ulama yang sebenar seperti di dalam firman Allah SWT di atas. Lebih-lebih lagi tidak dapat dianggap alim seseorang itu kecuali ia beramal dengan ilmunya.
Boleh diringkaskan begini: Ulama dalam pandangan Islam, ialah orang alim yang beriman, yang takut kepada Allah dan beramal dengan ilmunya.
1. Berilmu pengetahuan
Ilmu yang bersumber dari Al Quran dan hadis yang tunjangnya tauhid dan aqidah. Contohnya ilmu tafsir, feqah, hadis, tasawuf dan lain-lain lagi. Kerana ilmu-ilmu inilah pada asasnya membawa manusia mengenal Allah serta mahu mengabdikan diri kepada Allah. Pendeknya ilmu yang boleh membawa manusia menjadi beriman dan bertaqwa.
Ilmu-ilmu yang lain atau disebut ilmu alat-teknologi, sains dan sebagainya bukan tidak boleh membawa manusia bertaqwa, tetapi ia hanya berlaku jika berasaskan kepada tauhid atau aqidah yang diperolehi daripada ilmu yang bersumberkan Al Quran dan hadis. Ini amat jarang berlaku.
2. Takutkan Allah dan beramal dengan ilmunya
Ada juga berlaku dan memang banyak berlaku pada hari ini, orang yang tinggi ilmu pengetahuannya dalam Al Quran dan hadis tetapi tidak beriman dan tidak takut pada Allah SWT serta tidak beramal. Tidak takut pada Allah dalam ertikata walaupun dia orang Islam, berilmu pula tetapi titah perintah Allah dilanggar sesuka hati dan ikut nafsu. Larangan Allah tidak diendahkan. Sedangkan orang bertaqwa itu orang yang beramal. Kerana bila takut pada Allah, dia akan beramal dengan perintah-perintah Allah. Ulama yang beramal inilah yang disebut sebagai ulama ul amilin.
Mengapa ulama perlu terdiri dari orang yang takut kepada Allah? Ini disebabkan hanya ulama yang takut kepada Allah (beramal) yang mampu membawa manusia lain untuk sama-sama takut kepada Allah (bertaqwa). Mereka ibarat pengecas dengan bateri. Ulamalah yang mengalirkan 'current' yakni rasa takut pada Allah kepada orang lain hingga orang lain pula takut kepada Allah. Oleh itu dia mesti ada 'power' yang lebih kuat.
Ertinya ulama mestilah orang yang lebih kuat iman dan taqwanya.
Rosaknya sesebuah masyarakat ialah kerana mereka tidak ada rasa takut kepada Allah. Dengan ini kemungkaran dan kejahatan dilakukan semahu-mahunya. Antara puncanya, tidak ada ulama yang hendak disandarkan rasa takut kepada Allah. Akibatnya, iman masyarakat menurun.
Bersabda Rasulullah SAW bermaksud: "Dua golongan daripada umatku, apabila mereka baik maka baiklah manusia, dan apabila mereka rosak, maka rosaklah manusia, iaitu umara' (pemimpin) dan ulama." (HR: Ibnu Abdul Barri dan Abu Nuaim)
Walaupun ada ulama masih berusaha membaiki masyarakat menggunakan ilmu Al Quran dan hadis, tetapi selagi mereka tidak takut kepada Allah SWT, selagi itulah mereka akan gagal meningkatkan iman masyarakat.
Sebaliknya jika ada ulama yang takut kepada Allah, hanya dengan memandang wajahnya sahaja pun boleh mengingatkan kita kepada Allah, seterusnya menginsafkan kita. Kehadirannya dengan sendirinya boleh mendidik orang lain, walaupun dia belum bercakap apa-apa. Wibawanya yang tinggi mempengaruhi orang lain agar takutkan Allah SWT.
Kerana tidak bertaqwa, maka ulama tidak dihormati, mudah dipersenda malah kurang dipedulikan. Akibatnya, umat tiada pimpinan kerana warisan para nabi tidak dapat di'bahagi-bahagikan' kepada umat lantaran 'pewaris'nya telah tidak takutkan Allah lagi.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment