KERABAT MAYA

Sunday, 4 October 2009

BerDusta



Berdusta ialah perbuatan di mana seseorang itu sengaja mahu memberi gambaran yang salah kepada orang yang didustai. Dusta mungkin dilakukan secara tersurat mahupun tersirat. Biasanya dusta dilakukan dengan menggunakan kata-kata yang jelas berniat memberi gambaran salah.


"Tak, tak, abang tak pergi kelab dangdut." (padahal dia pergi)
"Tak, saya tak cakap apa-apa pasal mak awak." (padahal dia bercakap)
"Kalau abang nak kahwin lagi, kahwinlah." (padahal dia takkan setuju suaminya kahwin lagi.)


Tetapi ada kalanya dusta dilakukan dengan cara tidak berkata apa-apa. Apabila kita menyembunyikan sesuatu, sebenarnya kita berdusta kerana dengan tidak berkata apa-apa, kita memberi gambaran yang salah. Perbuatan itu sama salahnya dengan perbuatan berkata yang tidak benar. Sebagai contoh, seorang suami pergi ke rumah urut, tetapi dia diam saja, tidak memberitahu isterinya. Atau seorang isteri keluar dengan lelaki lain semasa bertugas di luar kawasan tetapi dia diam saja.


Kebanyakan dusta dilakukan dengan menggunakan kata-kata, tetapi kebanyakan dusta seperti yang itu diiringi dengan dusta bahasa badan. Sebagai contoh, semasa seorang suami berkata dia tak pergi ke rumah urut, dia juga berlakon membuat "muka bodoh" atau "muka sadin" untuk menutup dustanya, supaya isterinya percaya. Atau sekembalinya seorang isteri daripada bertugas di luar kawasan di mana sewaktu dia di sana dia keluar dengan lelaki lain, dia segera sembahyang dahulu sebelum berbuat apa-apa yang lain. Dia berharap suaminya akan percaya bahawa seorang isteri yang sembahyang tentulah tidak akan menyeleweng semasa bertugas di luar.


Berdusta bererti menutup kebenaran. Dusta menyebabkan orang yang didustai tidak dapat memilih alternatif-alternatif lain. Sebagai contoh, seorang suami yang tidak memberitahu isterinya bahawa dia mempunyai rancangan berkahwin lagi bererti si suami tidak memberi peluang kepada isterinya untuk memilih apa-apa alternatif yang mungkin dia akan pilih sekiranya dia tahu keadaan suaminya yang sebenar.


Dia mungkin boleh mengambil tindakan-tindakan untuk menghalang rancangan suaminya, ataupun dia mungkin akan mengkaji semula kelemahan dirinya. Tetapi kerana suaminya berdusta, dia tidak dapat melakukan itu semua.
Semua orang mempunyai hak membuat pilihan mereka sendiri.


Apabila kita berdusta kepada seseorang, ini bermakna kita memaksa orang itu menerima pilihan kita. Apabila seseorang suami mengatakan bahawa dia masih tetap mengasihi isterinya, padahal tidak, itu bererti dia tidak membenarkan si isteri membuat pilihannya sendiri seandainya dia tahu perasaan suaminya yang sebenar.


Setengah-setengah suami berdusta atas alasan "demi kebaikan isterinya." Apabila dia berbuat begitu, ia bermakna si suami memaksa si isteri menerima keputusan yang dibuat oleh si suami bagi pihak si isteri. Ertinya, si suami menafikan hak isterinya untuk membuat pilihan bagi pihaknya sendiri.


Tetapi ada kalanya memang si isteri sendiri setuju untuk tidak mahu mendengar maklumat yang sebenar. Sebagai contoh, si isteri tidak mahu suaminya memberitahu sejarah lampau hidupnya. Dalam keadaan begitu, apabila si suami tidak memberitahu maklumat berkenaan perkara-perkara yang pernah dilakukan pada masa dulu, maka itu bukanlah perbuatan berdusta.


Manusia berdusta kerana bermacam-macam alasan. Walau bagaimanapun, menurut pakar-pakar psikologi, ada empat jenis dorongan yang menyebabkan kita sanggup berdusta:
Mendapatkan keperluan asas

Kita berdusta kerana hendak mendapatkan benda-benda material yang penting kepada kita. Kita juga berdusta supaya kita tidak kehilangan benda-benda itu. Wang dan harta benda termasuk di dalam kategori ini. Sebagai contoh, seorang isteri meminta wang tambahan dengan berdusta kepada suaminya bahawa wang belanja bulanan sudah habis padahal belum, kerana dia mahu menggunakan wang itu untuk membeli beg tangan baru. Seorang suami merahsiakan bahawa, selain gajinya dia juga mempunyai sumber-sumber pendapatan lain kerana dia takut wang itu akan diminta oleh isterinya atau isterinya akan mempersoalkan apa yang dia hendak buat dengan wangnya itu.



Ada kalanya kita berdusta kerana hendak menjaga estim-diri atau maruah kita. Sebagai contoh, kita tidak mahu orang lain tahu bahawa kita mempunyai sifat-sifat buruk. Ada kalanya kita juga berdusta untuk menaikkan estim-diri kita di mata orang yang kita dustai. Sebagai contoh, kita berdusta dengan mengatakan kita seorang setiausaha, padahal kita cuma seorang kerani. Ada kalanya, kita mungkin berdusta kerana hendak menunjukkan gambaran seolah-olah kita adalah seorang yang berkebolehan atau berkedudukan baik. Sebagai contoh, kita membeli kereta besar walaupun kita tak berapa mampu kerana kita hendak memberi gambaran kita datang daripada kelas sosial yang tinggi, dan kita layak diterima sebagai rakan pergaulan oleh mereka yang menganggotai kelas itu.

Perhubungan


Kadang kala kita berdusta kerana hendak menjaga hubungan baik yang ada. Ramai suami berdusta kepada isteri kerana hendak mengelakkan krisis rumahtangga. Ada pula masanya kita berdusta untuk menamatkan hubungan yang tidak kita ingini. Sebagai contoh seorang suami berdusta supaya isterinya tidak suka lagi kepadanya, supaya dengan itu dia dapat membuka jalan perpisahan.


Ada pula masanya kita berdusta kerana tidak mahu memenuhi kehendak atau permintaan orang itu. Ramai suami berdusta kerana tidak mahu melayan permintaan isteri. Sebagai contoh, isteri meminta set meja makan baru dan suami berdusta mengatakan dia tidak ada wang. Ramai pula isteri berdusta untuk memutar-belit suami supaya mahu menuruti kehendak mereka.
Kadang-kadang kita juga berdusta kerana hendak mengawal perjalanan sesuatu perbualan. Sebagai contoh, suami berdusta kepada isteri kerana tidak mahu isterinya bertanya tentang hal-hal yang disorokkan, ataupun supaya perbualan itu menuju arah yang dia mahu sahaja.


Kepuasan diri


Sekali-sekala kita berdusta kerana hendak memuaskan diri sendiri. Sebagai contoh, kita berdusta kerana hendak berseronok-seronok dengan cara melawak dan bergurau senda, atau kerana hendak melebih-lebihkan cerita kita.
Kajian-kajian yang pernah dibuat oleh pakar-pakar psikologi mendapati kebanyakan orang berdusta untuk kepentingan mereka sendiri. Di dalam suatu kajian, daripada 322 pendustaan, 75.8 peratus menguntungkan si pendusta, 21.7 peratus menguntungkan orang yang didustai dan 2.5 peratus menguntungkan orang lain.


Katakanlah pada satu hari seorang isteri memakai baju baru yang tidak sesuai dengan potongan badannya. Dia bertanya kepada suaminya sama ada baju itu cantik apabila dipakai. Si suami ada beberapa pilihan:


a. Suami boleh memberi jawapan neutral seperti mengatakan fesyen itu unik atau dia belum pernah melihat fesyen yang begitu sebelumnya. "Boleh tahan! Abang tak pernah tengok orang lain pakai fesyen macam tu."
Perbuatan si suami adalah berdusta. Si isteri mungkin menyangka suaminya betul-betul menganggap baju itu cantik dan dia kelihatan cantik apabila memakainya.


b.Suami boleh menunjukkan rasa terkejut dengan berkata dia tak pernah nampak baju yang lebih hodoh daripada baju itu.
"MasyaAllah! Teruknya baju awak tu."
Kata-kata si suami itu bukan dusta tetapi ia melukai perasaan si isteri.


c. Suami boleh berkata baju itu sangat cantik dan sangat sesuai dengan isterinya. Perbuatannya itu adalah berdusta.
"Cantiknya! Baju macam inilah yang elok untuk awak."


Mungkin si suami berniat baik pada waktu itu. Tetapi pada masa depan, perbuatan itu boleh jadi kejam. Bayangkan apabila si isteri memakai baju itu ke majlis rasmi, apa kesannya.
Dalam keadaan seperti di atas, tentukan dahulu apa niat si isteri bertanya kepada suaminya berkenaan baju itu. Sekiranya niat si isteri ialah meminta pendapat suaminya berkenaan baju itu, maka si suami patut menilai baju itu sahaja. Dia boleh berkata baju itu tidak sesuai dengan isterinya.
"Baju tu cantik tapi tak sesuai dengan awak."
Jangan pula si suami menilai peribadi isterinya. Sebagai contoh jangan berkata:
"Awak nampak tua dengan baju itu."
"Awak nampak macam penari dangdut!"
"Awak nampak macam pokok bunga berjalan!"
Sebaliknya suami boleh berkata:
"Baju lain lebih sesuai dengan awak."
"Awak nampak lebih cantik dengan baju lain."


Sekiranya si isteri sebenarnya mahu mendengar pujian daripada suaminya, maka si suami patut memberikan pujian yang mahu didengar oleh si isteri. Dalam keadaan begini, baju itu tidak penting. Ia cuma alasan si isteri meminta pujian daripada suami. Jadi, si suami patut memberikan pujian kepada si isteri:
"Awak manis."
"Awak cantik."


Kata-kata suami seperti itu bukanlah suatu dusta. Dia hanya memberi apa yang diharapkan oleh isterinya.


Di dalam Islam, kita dibenarkan berdusta hanya untuk tiga tujuan. Pertama untuk menyelamatkan orang yang tidak bersalah daripada dianiaya. Kedua untuk mendamaikan dua orang yang bermusuhan. Ketiga untuk menjaga hubungan baik antara isteri-isteri.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...