KERABAT MAYA
Wednesday, 30 March 2011
Adab Orang Belajar
Adab murid terhadap guru itu ada beberapa perkara. Tetapi Imam al-Ghazali yang dirahmati Allah Taala menyebutkan di dalam kitab ‘Bidayatul Hidayah’ Sebelas Perkara.
1. Apabila ia mendapatkan gurunya maka ia hendaklah mendahului pada memberi salam.
2. Jangan banyak berkata-kata di hadapan guru.
3. Jangan berkata-kata apa yang tiada ditanya oleh guru.
4. Jangan bertanya guru sebelum meminta izin daripadanya.
5. Jangan menyangkal perkataan guru dengan mengatakan si polan menyalahi apa yang engkau katakan dan sebagainya.
6. Jangan memberi isyarat kepada gurunya dengan sesuatu yang menyalahi bicara gurunya yang membawa sangkaan kononnya dia terlebih benar daripada gurunya atau terlebih mengetahui daripada gurunya. Yang demikian itu kurang adab terhadap gurunya dan kurang berkat.
7. Jangan berbisik- bisik dengan rakan yang sama-sama duduk di hadapan guru.
8. Jangan berpaling ke kiri dan ke kanan ketika di hadapan guru, tetapi hendaklah ia duduk tunduk beradab seolah-olah ia berada di dalam sembahyang.
9. Jangan banyak bertanya ketika guru segan berkata-kata atau letih.
10.Apabila guru berdiri maka ia hendaklah turut berdiri kerana mentakzimkan guru dan jangan diikuti pada ketika ia bangkit itu, dengan pertanyaan dan soalan dan jangan bertanya masalah ketika ia sedang berjalan hingga ia sampai ke rumah atau ke tempat duduknya.
11.Jangan jahat sangka terhadap guru pada segala perbuatan yang zahir yang menyalahi iktikadnya atau perbuatan guru itu bersalahan dengan pengetahuan atau dengan adatnya, kerana guru itu terlebih mengetahui dengan segala rahsia syariat seperti hikayat Nabi Musa dan Nabi Khidir a.s. Maka perbuatan Nabi Khidir memecahkan perahu orang yang ia tumpanginya, membunuh kanak-kanak kecil yang belum berdosa, pada zahirnya perbuatan itu menyalahi syariat, sebab itu pada permulaannya Nabi Musa mengingkarinya, tetapi pada hakikatnya tiada menyalahi batin syariat, sebab itulah pada akhirnya Nabi Musa membenarkannya.
Dipetik daripada Kitab Hidayah Salikin
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment