KERABAT MAYA

Saturday 27 February 2010

Tuhan

Sifat-Sifat Tuhan

Wujud-Nya Tuhan tidak ada permulaan
Kerana Dia bukan kejadian
Tuhan adalah penjadi bukan kena jadi
Jenis kejadian sahaja yang ada permulaan

Wujud-Nya Tuhan sudah sedia ada
Ada-Nya tidak ada didahului oleh tiada
Dia tidak ada permulaan seperti kejadian
Juga Dia tidak ada kesudahan

Tuhan adalah kekal buat selama-lamanya
Kerana Dia Tuhan, tidak ada siapa yang mentiadakannya
Yang tidak kekal adalah dia dijadikan

Tuhan menjadi segala-galanya kerana itulah Dia kekal

Tuhan tidak serupa dengan sebarang kejadian
Kerana kejadian adalah makhluk ciptaan Tuhan
Kejadian sama sekali tidak sama dengan penjadi
Penjadi adalah Tuhan yang tidak boleh dilintaskan

Mustahil Tuhan dapat difikirkan
Siapa memikirkan adalah satu pembohongan
Maha Suci Tuhan dapat dikhayalkan
Siapa mengkhayalkan dia syirik dengan Tuhan

Tuhan adalah tersendiri tidak dijadikan, tidak berhajat tempat berdiri
Yang berhajat kepada tempat berdiri adalah sifat
Padahal Tuhan itu adalah Zat yang bersifat
Sifat sahaja yang berhajat kepada zat

Tuhan adalah Esa tidak boleh dibelah bagi
Kalau satu masih boleh dibelah bagi
Tidak bertempat, tidak mengambil ruang tidak di dalam pihak
Tidak berketul, tidak panjang tidak lebar

Tidak di atas tidak di bawah
Tidak di utara tidak di selatan
Tidak di timur tidak di barat
Tidak terlibat dengan masa dan tidak terlibat dengan malam dan siang

Kuasa-Nya sedia ada mutlak boleh melakukan apa sahaja
Kehendak-Nya terjadi di azali lagi jika Dia berkata jadi, terus jadi

Ilmu-Nya meliputi dahulu dan kemudian
Ilmu-Nya sediakala dan tidak terbatas, tidak terlindung

Dia hidup sepanjang masa
Kerana Dia bukan hidup dengan nyawa

Dia mendengar jauh dan dekat, bersuara atau tiada
Juga melihat apa sahaja tanpa batas

Setelah kita mengetahui sifat-sifat Tuhan itu sungguh agung-Nya Dia
Maha Besar dan Maha Hebat
kecut perut dibuatnya

Saturday 20 February 2010

CERITERA PUNGGUK DAN BULAN


Bagai si pungguk rindukan bulan,
Kata orang menanti perkara yang tak mungkin tercapai,
Kerana bulan itu jauh,
Pungguk tak mampu sampai,
Maka hanya boleh merindu sajalah.

Kadang-kadang,
Kasihan juga pada si pungguk,
Hanya mampu melihat bulan,
Sedangkan hati meronta ingin mendampingi bulan,
Namun dek kerana jaraknya,
Si pungguk terpaksa menahan perasaan.

Kadang-kadang,
Kagum juga pada si pungguk,
Tak jemu-jemu merindui bulan,
Biarpun dia tahu bulan itu jauh untuk digapai,
Namun hatinya tak pernah luntur biarpun dipukul badai.

Bulan pula tinggi kedudukannya,
Mungkin bulan juga rindukan pungguk,
Tapi bulan lagilah tidak mampu berbuat apa-apa,
Sekadar melihat dari jauh,
Wajah si pungguk yang kerinduan.

Tapi bulan pun tak jemu-jemu menghadap pungguk,
Walaupun bulan hanya ada di malam hari,
Bulan cuba yang terbaik di hadapan pungguk,
Supaya pungguk tak jemu melihat bulan.

Namun, sesuai kah pungguk dan bulan?
Masing-masing berbeza fitrah dan adat,
Masing-masing dipisahkan jarak yang bukannya dekat,
Malah mustahil pun untuk melekat,
Pungguk ini pun bukannya calang-calang,
Setiap waktu ada sahaja pemburu yang menanti peluang,
Maklumlah, nilai pungguk ini tinggi,
Haiwan eksotik permintaan pun tinggi.

Bulan pun hanya mampu menerangi perjalanan malam pungguk,
Agar pungguk tak terperangkap dengan jerat pemburu,
Bulan cuba memandu pungguk,
Biarpun dari jauh supaya pungguk sentiasa dibantu,
Bulan sangat risaukan pungguk,
Takut-takut nanti bukan bulan yang pungguk rindu.

Biar apa pun perbezaan,
Biar apa pun haluan,
Mungkin ada persamaan,
Antara pungguk dan bulan,
Walaupun kecil atau kebetulan,
Sekurang-kurangnya ada titik pertemuan,
Mata pungguk dan bentuk bulan,
Sama bulat sama padan,
Hanya itu pengubat rindu pungguk dan bulan.

Tuesday 9 February 2010

Pantun Anak Dagang Di Perantauan



Permatang rimba bersuluh terang,
Ranting bersilang taut pegaga,
Dagang hamba jauh di seberang,
Membanting tulang buat keluarga.

Ke Kuala Sedili mencari kerang
Kerang di bawa di dalam perahu
Sungguh jauh di rantau orang
Menangis di hati siapa yang tahu

Masam manis buah kuini
Jangan pula makan melampau
Walau berkurun aku disini
Tapi masih dipandang perantau

Air diangkut di dalam timba,
Menyiram bunga tanam merata;
Usah diikut rasanya hiba,
Rindu tak terubat dek airmata.

Bayang redup si pohon kelapa
Tempat berteduh si anak rusa
Dagang tidak membawa apa
Mengapa pergi menanggung dosa

Naik sampan nak ke seberang
Pergi bersama dengan di dara
Hamba dagang di negeri orang
Jauh dari sanak saudara

Puas saya menanam ubi
Nenas juga ditanam orang
Puas sudah kutanam budi
Emas juga dipandang orang

Lebat pinang di pinggir Kampung
Masak setangkai letak di peti
Sedih hati mengenang untung
Jauh merantau mencari rezeki

Anak puyuh patah lah kaki
Memagut selasih dipinggir kali
Susah payah dagang mencari rezeki
Rahmat kasih Allah luas sekali

Girangnya hati sang teruna
Bertemu dara di hujung bendang
Apalah ada pada hamba
Rupa tiada harta pun kurang

Burung ketitir membuat sarang
Sarang dibuat dirumah tamu
Hamba ini seorang pedagang
Dagang untuk mencari ilmu

Baik-baik meniti bendang
Tanah yang lecak licin sekali
Rupa tiada harta pun kurang
Hanya ilmu penyuluh diri

Burung terbang diatas perigi
Sampan kolek penuh kelapa
Mencari ilmu di tempat tinggi
Namun asal ku tidak ku lupa

Buah delima tingalnya satu
Tempat bersarang semut dan kerengga
Sunguhpun jauh beribu batu
Namun yang tercinta dikenang juga

Daun gelenggang pengubat santau
Pohonnya condong tumbuh berjejeran
Anak dagang asing di rantau
Jangan lupakan desa kelahiran.

Silau persada berjejal bintang,
Indah purnama di Kuala Rusa,
Kalau tiada aral melintang,
Pulanglah jua hamba ke desa.

Tuesday 2 February 2010

muhaSABAH


Saya, sepertilah anda juga, kecualilah jika anda memang terlalu bagus, bermula dengan serba kekurangan. Hari ini, saya sepertilah anda juga, telah mampu mengenali dan menyedari satu demi satu kekurangan diri.

Sebelum saya berakhir di dunia ini, saya berharap sangat bahawa saya telah mampu membaiki segala kekurangan diri yang saya sedari itu. Saya, sepertilah anda juga ingin menyempurnakan kekurangan itu satu persatu. Satu demi satu. Kita mahu berakhir dan diri kita telah sempurna dan kuat.

Kita diciptakan dalam lemah. Tetapi kita mesti berakhir dengan kuat. Di dunia, kita ada ibu untuk mengajar kita bertatih, lalu kita menjadi bertambah kuat. Kita ada bapa untuk membesarkan kita, lalu kita menjadi bertambah sihat dan kuat. Ketika mereka melepaskan kita keluar dari rumah, kita sudah ada akal yang sejahtera untuk kita membina diri dan kekuatan sendiri.

Kita dilahirkan lemah, tetapi kita diberi tongkat yang banyak untuk berjalan di bumi ini.

Apabila kita berakhir di hujung nanti, kita mestilah sekuat yang terdaya oleh kita. Berakhir adalah bererti kita bermula dengan alam yang baru! Alam tanpa tongkat lagi. Kita mengadap alam baru tanpa apa – apa lagi kecuali Tuhan yang menciptakan kita..

Di dunia ini kita perlukan kekuatan untuk mengadap manusia dan kehidupan. Di alam baru nanti, kita perlukan kekuatan berganda - ganda kerana kita dipaksa mengadap Sang Pencipta dan pembalasanNya!

Tiada lagi ibu atau ayah, teman atau penyokong. Tiada lagi akal dan helah atau pangkat dan harta. Kosong. Diri dan di hadapan diri adalah Allah jalla jalaluhu.

Kita diciptakan sedemikian oleh Tuhan. Dengan sengaja dan dengan tujuan. Agar kita sedar bahawa kita bukan tuhan, bahkan kita ini adalah hamba yang dimiliki. Kita dan tongkat kita semuanya adalah hamba yang hina dina. Bahawa setiap hamba mestilah mengadap tuannya tanpa soal dan pinta.

Kita mesti kuat mengadapnya. Tetapi kekuatan apa itu?

Bukankah kekuatan itu semuanya luluh dan berkecai di hadapan kuatNya?

Bahkan! Tiadalah lagi kekuatan kecuali kekuatan yang satu. Ia adalah kekuatan bergantung kepadaNya!

Di dunia, untuk mengadap manusia, kita bertongkat saja pada manusia. Di akhirat nanti, untuk mengadap Allah, kita hanya boleh bertongkat pada Allah azza wa jalla. Hanya Allah tongkat kita.

Kita mesti bergerak dalam perjalanan masa untuk berpindah daripada sebatang tongkat yang kecil dan lemah kepada batang tongkat yang lebih besar dan kuat. Di hujung nanti, sebelum kita berakhir, kita memerlukan tongkat terakhir yang maha besar dan maha kuat. Bertongkat pada Sang Pencipta.

La Hawla wa la Quwwata illa biLlaah al ‘aliyy al ‘aziim..

Saya, sepertilah anda juga, dilancarkan ke samudera masa menuju hujung yang pasti. Saya akan mencari tongkat yang lebih kuat dan lebih baik. Dulu saya bertongkat pada ayah dan ibu, tetapi kini saya bertongkat pada ilmu dan pengalaman. Kadang – kadang saya didorong untuk bertongkat pada harta dan kedudukan, atau kesihatan tubuh dan kemasyhuran diri. Biasa sekali, bila terhantuk barulah saya tengadah!

Allah sengaja memperkenalkan kita dengan segala tongkat dan kita diminta menguji kekuatannya. Tetapi kita tidak akan mampu menilai kekuatannya yang sebenar sehinggalah kita mengujinya dengan kekuatan Allah! Malangnya, manusia jarang sekali mengujinya dengan kekuatan Allah. Bagaimana mereka mahu mengujinya dengan kekuatanNya sedang mereka tidak pun mengenali Allah?!

Saya telah yakin dan beriman bahawa Allahlah kekuatan sebenar untuk kehidupan. Saya tidak mungkin meyakini dan beriman denganNya sehinggalah saya mengenaliNya. Saya tidak mungkin mengenalinya kecuali setelah saya menambah ilmu, bertafakkur pada kejadian alam dan beribrah daripada pengalaman hidup.

Berilmu dan berfikir telah mendorong saya untuk tidak lagi ragu – ragu pada Allah. Saya hanya benar – benar ingin bertongkat pada Allah yang telah menciptakan saya dan seluruh makhluk di alam ini. Justeru saya benar – benar ingin menambah ilmu dan bertafakkur dalam kehidupan ini sehingga hujung hidup saya.

Saya seorang pendidik. Tetapi saya tidak mengecapi apa – apa kemanisan kecuali jika saya bertambah – tambah menemuiNya dalam dunia pendidikan.

Saya seorang usahawan. Tetapi saya sering kehausan sehinggalah saya mendapatiNya menongkati saya dalam perniagaan, lalu saya menjadi seronok mendapat laba dan harta.

Saya seorang politikus. Tetapi saya sering merasa bodoh dan kesepian sehinggalah Allah datang membantu dan menunjuki saya dengan ilmu dan jalan yang benar dalam berpolitik.

Saya seorang pendakwah. Tetapi saya sering keletihan dan terhenti sehinggalah saya diberi ilmu dalam dunia amar makruf dan nahi munkar.

Tanpa ilmu saya tidak akan mengenali Allah. Tanpa Ilmu saya tidak akan berakhir dengan kuat dan sempurna.

Dalam apa bidang dan sektor pun, kita akan tertipu dengan tongkat – tongkat yang kita bergagah padanya sehinggalah kita bergagah pada Allah dan kekuatanNya.

Sebelum kita berakhir di dunia ini, mari kita terus berjuang untuk mengenali Allah, lalu kita beriman dan bergantung kepadaNya. Itulah kekuatan yang sepertilah anda juga, saya menagihnya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...