KERABAT MAYA
Tuesday, 2 February 2010
muhaSABAH
Saya, sepertilah anda juga, kecualilah jika anda memang terlalu bagus, bermula dengan serba kekurangan. Hari ini, saya sepertilah anda juga, telah mampu mengenali dan menyedari satu demi satu kekurangan diri.
Sebelum saya berakhir di dunia ini, saya berharap sangat bahawa saya telah mampu membaiki segala kekurangan diri yang saya sedari itu. Saya, sepertilah anda juga ingin menyempurnakan kekurangan itu satu persatu. Satu demi satu. Kita mahu berakhir dan diri kita telah sempurna dan kuat.
Kita diciptakan dalam lemah. Tetapi kita mesti berakhir dengan kuat. Di dunia, kita ada ibu untuk mengajar kita bertatih, lalu kita menjadi bertambah kuat. Kita ada bapa untuk membesarkan kita, lalu kita menjadi bertambah sihat dan kuat. Ketika mereka melepaskan kita keluar dari rumah, kita sudah ada akal yang sejahtera untuk kita membina diri dan kekuatan sendiri.
Kita dilahirkan lemah, tetapi kita diberi tongkat yang banyak untuk berjalan di bumi ini.
Apabila kita berakhir di hujung nanti, kita mestilah sekuat yang terdaya oleh kita. Berakhir adalah bererti kita bermula dengan alam yang baru! Alam tanpa tongkat lagi. Kita mengadap alam baru tanpa apa – apa lagi kecuali Tuhan yang menciptakan kita..
Di dunia ini kita perlukan kekuatan untuk mengadap manusia dan kehidupan. Di alam baru nanti, kita perlukan kekuatan berganda - ganda kerana kita dipaksa mengadap Sang Pencipta dan pembalasanNya!
Tiada lagi ibu atau ayah, teman atau penyokong. Tiada lagi akal dan helah atau pangkat dan harta. Kosong. Diri dan di hadapan diri adalah Allah jalla jalaluhu.
Kita diciptakan sedemikian oleh Tuhan. Dengan sengaja dan dengan tujuan. Agar kita sedar bahawa kita bukan tuhan, bahkan kita ini adalah hamba yang dimiliki. Kita dan tongkat kita semuanya adalah hamba yang hina dina. Bahawa setiap hamba mestilah mengadap tuannya tanpa soal dan pinta.
Kita mesti kuat mengadapnya. Tetapi kekuatan apa itu?
Bukankah kekuatan itu semuanya luluh dan berkecai di hadapan kuatNya?
Bahkan! Tiadalah lagi kekuatan kecuali kekuatan yang satu. Ia adalah kekuatan bergantung kepadaNya!
Di dunia, untuk mengadap manusia, kita bertongkat saja pada manusia. Di akhirat nanti, untuk mengadap Allah, kita hanya boleh bertongkat pada Allah azza wa jalla. Hanya Allah tongkat kita.
Kita mesti bergerak dalam perjalanan masa untuk berpindah daripada sebatang tongkat yang kecil dan lemah kepada batang tongkat yang lebih besar dan kuat. Di hujung nanti, sebelum kita berakhir, kita memerlukan tongkat terakhir yang maha besar dan maha kuat. Bertongkat pada Sang Pencipta.
La Hawla wa la Quwwata illa biLlaah al ‘aliyy al ‘aziim..
Saya, sepertilah anda juga, dilancarkan ke samudera masa menuju hujung yang pasti. Saya akan mencari tongkat yang lebih kuat dan lebih baik. Dulu saya bertongkat pada ayah dan ibu, tetapi kini saya bertongkat pada ilmu dan pengalaman. Kadang – kadang saya didorong untuk bertongkat pada harta dan kedudukan, atau kesihatan tubuh dan kemasyhuran diri. Biasa sekali, bila terhantuk barulah saya tengadah!
Allah sengaja memperkenalkan kita dengan segala tongkat dan kita diminta menguji kekuatannya. Tetapi kita tidak akan mampu menilai kekuatannya yang sebenar sehinggalah kita mengujinya dengan kekuatan Allah! Malangnya, manusia jarang sekali mengujinya dengan kekuatan Allah. Bagaimana mereka mahu mengujinya dengan kekuatanNya sedang mereka tidak pun mengenali Allah?!
Saya telah yakin dan beriman bahawa Allahlah kekuatan sebenar untuk kehidupan. Saya tidak mungkin meyakini dan beriman denganNya sehinggalah saya mengenaliNya. Saya tidak mungkin mengenalinya kecuali setelah saya menambah ilmu, bertafakkur pada kejadian alam dan beribrah daripada pengalaman hidup.
Berilmu dan berfikir telah mendorong saya untuk tidak lagi ragu – ragu pada Allah. Saya hanya benar – benar ingin bertongkat pada Allah yang telah menciptakan saya dan seluruh makhluk di alam ini. Justeru saya benar – benar ingin menambah ilmu dan bertafakkur dalam kehidupan ini sehingga hujung hidup saya.
Saya seorang pendidik. Tetapi saya tidak mengecapi apa – apa kemanisan kecuali jika saya bertambah – tambah menemuiNya dalam dunia pendidikan.
Saya seorang usahawan. Tetapi saya sering kehausan sehinggalah saya mendapatiNya menongkati saya dalam perniagaan, lalu saya menjadi seronok mendapat laba dan harta.
Saya seorang politikus. Tetapi saya sering merasa bodoh dan kesepian sehinggalah Allah datang membantu dan menunjuki saya dengan ilmu dan jalan yang benar dalam berpolitik.
Saya seorang pendakwah. Tetapi saya sering keletihan dan terhenti sehinggalah saya diberi ilmu dalam dunia amar makruf dan nahi munkar.
Tanpa ilmu saya tidak akan mengenali Allah. Tanpa Ilmu saya tidak akan berakhir dengan kuat dan sempurna.
Dalam apa bidang dan sektor pun, kita akan tertipu dengan tongkat – tongkat yang kita bergagah padanya sehinggalah kita bergagah pada Allah dan kekuatanNya.
Sebelum kita berakhir di dunia ini, mari kita terus berjuang untuk mengenali Allah, lalu kita beriman dan bergantung kepadaNya. Itulah kekuatan yang sepertilah anda juga, saya menagihnya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment