KERABAT MAYA

Sunday 7 March 2010

Selamat Tinggal Gaut.......


GOUT memang sudah sebati dikaitkan sebagai penyakit lelaki dan ia jarang sekali berlaku kepada wanita. Jika ada pun, kemungkinan berlaku hanyalah selepas wanita mengalami menopaus.
Apabila gout menyerang, kaki akan menjadi bengkak, panas dan amat sakit hingga ada sesetengah pesakit tidak boleh berjalan. Malah, kesakitan ini boleh berlanjutan beberapa hari dan hanya hilang dengan pengambilan ubat.
Gout mula dikenal pasti lebih 2,000 tahun dulu dan dikatakan antara penyakit tertua. Dulunya ia dipanggil penyakit orang kaya lantaran ia dikaitkan dengan pengambilan makanan dan minuman yang terlalu banyak khasiat.
Ia adalah sebahagian daripada penyakit artritis yang dikelaskan sebagai penyakit metabolik akibat asid urik (iaitu bahan buangan yang terhasil daripada pemecahan purin (protein); berkumpul pada sendi dan tisu lembut di sekeliling sendi, terutama pada kaki dan menyebabkan rasa sakit.
Pemendapan asid urik ini lama kelamaan akan menghasilkan hablur garam dan hablur inilah yang mencetuskan rasa sakit sendi. Ia juga dipanggil masalah bengkak sendi yang daripada tapak ibu jari kaki, menular ke sendi lain pada kaki dan tangan.
Menurut Perunding Pembedahan Ortopedik dan Trauma, Dr Robert Penafort, punca sebenar masalah metabolik masih belum diketahui bagaimanapun individu yang menghidap kencing manis, obesiti dan sakit buah pinggang juga berisiko mendapat gout.
Tisu lembut
Gout boleh dibahagikan kepada empat peringkat; asimptomatik (tiada simptom), akut, interkritikal dan kronik. Dalam kes akut, simptom gout berlaku secara cepat dan tiba-tiba; biasanya hanya menyerang tisu lembut pada beberapa sendi.
Manakala bagi peringkat kronik, serangan gout boleh berlaku berulang- ulang yang dipanggil polyarticular gout. Pesakit akan berasa amat sakit, kejang dan kaki berubah bentuk. Ada juga yang mungkin menghadapi masalah kaki bengkak, merah, panas dan demam.
Pengumpulan asid ini boleh dilihat melalui kulit akibat pembentukan bonjolan kecil yang dipanggil tophi. Pada keadaan yang lebih serius, tophi yang terlalu besar mungkin pecah dan mengeluarkan bahan seperti kapur.
"Selain kaki, gout juga boleh berlaku pada anggota badan yang lain seperti buku lali, lutut, tangan dan pergelangan tangan. Kesakitan boleh berlanjutan antara lima hingga 10 hari mengikut keadaan pesakit. Sendi yang diserang gout akan bengkak, merah dan panas.
"Secara semula jadi asid urik akan larutkan dalam darah dan disingkirkan daripada badan melalui air kencing. Adakalanya badan menghasilkan terlalu banyak sehingga ia berkumpul menjadi kristal berbentuk jarum pada sendi atau tisu sekelilingnya menyebabkan sendi bengkak dan sakit," katanya.
Bagaimanapun, bukan semua sakit sendi disebabkan kristal asid urik kerana pemendapan kalsium pirofosfat dihidrat juga boleh menyebabkan kesakitan pada pergelangan kaki, lutut dan pergelangan tangan — yang dipanggil gout palsu atau pseudogout.
FAKTOR RISIKO
a) Jantina — Secara umumnya, lelaki lebih berisiko mendapat gout pada kadar 90 peratus kes yang dilaporkan.
b) Gaya hidup — Individu yang banyak minum minuman keras terutama bir dikatakan lebih berisiko mendapat gout.
C) Obesiti — Terutama bagi individu yang mempunyai berat badan lebih 66 kilogram daripada berat badan normal.
d) Penyakit, keadaan kesihatan dan ubat — Sesetengah penyakit seperti tekanan darah tinggi yang tidak dikawal, diabetes, hiperdislipidemia (paras lemak dan kolesterol yang tinggi) dan arteriosklerosis (penyempitan salur darah) juga boleh menyebabkan gout.
Individu yang menjalani pembedahan atau mendapat sakit tenat secara tiba-tiba dan terlantar lama juga boleh mengalami peningkatan asid urik dalam badannya. Malah, ubat mengawal tekanan darah dan kemoterapi juga dikenal pasti boleh meningkatkan paras asid urik dalam badan pesakit.
e) Genetik — Kajian mendapati satu daripada empat pesakit datang daripada keluarga yang ada masalah gout.
f) Umur — Biasanya gout menyerang pesakit tua tetapi kini banyak kes membabitkan pesakit berumur 30 hingga 50 tahun. Manakala bagi wanita, kebanyakan kes bermula selepas umur putus haid.
Bila sepatutnya mendapatkan rawatan? Kata Dr Penafort, apabila sendi berasa panas, bengkak dan sakit kerana jika tidak dirawat masalah ini akan bertambah buruk serta boleh menyebabkan kerosakan sendi.
Malah, individu yang mengalami masalah kencing manis, obesiti, anemia, pesakit buah pinggang atau pengambilan ubat yang mengganggu pengkumuhan asid urik turut berisiko mendapat gout. .
Menurut Dr Penafort, asid urik biasanya disingkirkan daripada badan melalui air kencing dan najis. Kegagalan badan mengeluarkan asid urik berlebihan akan menyebabkan ia mendak dan berkumpul sama ada di sendi, buah pinggang atau kulit.
Mewarisi
Gout juga biasa dikaitkan dengan tabiat pemakanan tidak sihat dan seimbang. Walaupun begitu, dalam sesetengah kes ia boleh diwarisi, terutama individu yang tiada enzim untuk membuang asid urik.
Gout juga boleh disebabkan masalah obesiti, gemuk, tekanan, kerosakan buah pinggang. Bagi individu yang mempunyai masalah gout, mereka disarankan untuk berpantang sedikit dan menghindarkan makanan kaya purin seperti bijirin, makanan laut, makanan berprotein tinggi, ikan bilis, minuman keras, kicap, teh dan kopi. Sebaliknya, minum lebih banyak air masak sekurang-kurangnya lapan gelas sehari dan kerap bersenam.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...