KERABAT MAYA

Friday, 22 January 2010

Berhenti merokok, kahwin lagi satu


Bulan pertama dalam lembaran 2010 berbaki beberapa hari lagi, namun mungkin ramai yang sudah lupa azam tahun baru mereka.

Namun, menjengah semula coretan rakan-rakan sendiri dalam Facebook dan blog masing-masing, saya melihat tidak ramai yang memasang azam baru untuk tahun ini.

Malah ada sekadar meluahkan keluhan: "Perbaharui azam tahun lepas sudahlah." Bagaimanapun ada pula mengumumkan azam yang lebih mendadak untuk meningkatkan tahap kesihatan, termasuk berhenti merokok.

Genap bulan ini, seorang rakan saya bakal meraikan kejayaannya tidak merokok selama setahun. Dari sudut ini, beliau merupakan seorang yang berjiwa kental dan boleh menjadi tauladan kepada saya sendiri dan rakan-rakan lain.

Saya menyokong usaha berhenti merokok. Tabiat ini diamalkan meluas tanpa mengenal kedudukan dalam strata masyarakat, mahupun bidang tugas yang dikendong oleh seseorang.

Ada negeri yang tidak memfatwakan merokok sebagai haram kerana tukang yang membuat fatwa itu sendiri rakus merokok!

Bahkan, di kalangan menteri juga ada yang kuat merokok, walaupun kerajaan mengambil sikap yang serius terhadap kesalahan merokok, khususnya di kalangan pelajar sekolah.

Semasa kami menuntut di sekolah menengah, beberapa rakan saya dibuang sekolah kerana kesalahan merokok di kawasan sekolah. Mengambil alasan sama, bolehkah kita 'membuang' seorang menteri pelajaran kerana kesalahan merokok di kementeriannya?

Apakah pula ruang untuk mendakwa seorang mufti kerana kesalahan merokok di sebuah negeri yang memfatwakan merokok sebagai haram?

(Cuba bandingkan dengan alasan untuk mendakwa seorang bekas mufti kerana mengajar agama tanpa tauliah di sebuah negeri.)

Banyak data empiris yang menyokong usaha mengharamkan rokok dan tidak kurang juga bahan-bahan kempen anti-merokok yang mengandungi klise seperti "setiap batang rokok memendekkan usia sebanyak lima minit."

Klise ini juga tidak konsisten kerana ada yang menyebut jumlah kehilangan usia sebanyak tujuh minit, lima belas minit, malah hingga sepuluh tahun, sedangkan laporan dalam penerbitan British Medical Journal (Januari 2000) menyebut "sebatang rokok mengurangkan usia anda sebanyak 11 minit."

Rumusan oleh Mary Shaw, Richard Mitchell dan Danny Dorling itu berdasarkan kajian terdahulu di Bristol, United Kingdom ke atas 34,439 doktor lelaki Britain pada 1951.

Kiraan itu pula berdasarkan jumlah rokok setahun yang dihisap oleh peserta kajian tersebut sejak usia 17 tahun sehingga kematiannya pada usia 61 tahun -- sebanyak 311,688 batang.

Umum mengetahui kebaikan aktiviti riadah, pengambilan makanan secara waras dan tidur yang mencukupi terhadap tahap kesihatan dan melanjutkan usia seseorang individu.

Ia juga boleh ditingkatkan lagi sekiranya seseorang itu berhenti merokok dan juga, menurut kajian, mengamalkan poligami!

Ia berdasarkan kajian Dr Virpi Lummaa, pengkaji ekologi di Universiti Sheffield, United Kingdom yang membentangkan dapatannya itu di mesyuarat tahunan International Society for Behavioral Ecology di Ithaca, New York.

Kajian itu, menurut Lumma, menunjukkan lelaki yang berkahwin lebih daripada seorang didapati hidup lebih lama berbanding lelaki yang tidak mengamalkan poligami.

Dapatan itu berdasarkan kajian ke atas sekumpulan lelaki berusia lebih 60 tahun di 140 buah negara yang mengamalkan (atau membenarkan poligami), yang hidup lebih lama -- sehingga 12% -- berbanding satu kumpulan lain lelaki daripada 49 negara yang umumnya mengamalkan monogami.

Menurut Neil Strauss yang menulis buku mengenai kelangsungan hidup manusia, maklumat itu didapatinya melalui komen penyampai program perbualan tabloid TV terkenal Opray Winfrey yang juga merupakan pejuang isu-isu berkaitan wanita dan turut mengambil pendirian menentang poligami.

Coretan Strauss di laman Facebook awal bulan ini kemudiannya mengundang pelbagai reaksi daripada rakannya di laman itu, termasuk juga yang tidak yakin penemuan sains tersebut boleh diterima pakai di negara mereka.

Seorang rakannya meninggalkan komen: “Poligami mungkin boleh mendorong kepada sembilan tahun kehidupan lagi tetapi (sekurang-kurangnya di tempat saya tinggal), mungkin juga sembilan tahun penjara.”

Alasannya, kerana banyak negara termasuk Amerika Syarikat meletakkan poligami sebagai perbuatan jenayah di bawah undang-undangnya.

Tetapi Malaysia, dan 47 buah negara lain, amalan poligami dibolehkan oleh undang-undang negara.

Jadi masih banyak masa untuk memperbaharui azam baru anda tahun ini, demi mencapai tahap kesihatan yang lebih baik!

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...