
Bagaimanakah kita hendak menjadi  seorang Muslim yang sebenar? Ini memerlukan satu penelitian yang teliti  dan butir-butir yang terang.
Sekarang mari kita tumpukan pemikiran kita untuk memahami apakah erti perkataan ‘Muslim’ itu. Adakah manusia menjadi Islam kerana ia dilahirkan dalam Islam? Adakah Muslim itu nama bagi sesuatu bangsa?
Adakah seseorang itu menjadi  Muslim dengan sebab ia adalah anak atau cucu bagi seorang Muslim? Adakah  seseorang itu diperanakkan sebagai Muslim sebagaimana seorang anak  Hindu diperanakkan sebagai Hindu? Adakah Muslim ini nama sesuatu kasta  atau kelas seperti yang terdapat pada orang-orang Hindu? Adakah kita  Muslim sebab kita dilahirkan di dalam masyarakat yang dipanggil  masyarakat Muslim? Apakah jawaban kita? Jawaban kita sudah tentu tidak.  Orang yang sedemikian bukanlah Muslim yang sebenarnya. Seseorang itu  Muslim sebab ia menerima Islam. Kalau ia menolak Islam, ia bukan lagi  Muslim. Samada seseorang itu orang Brahmin, atau Inggeris, atau Negro  atau Cina, atau apa-apa bangsa sekali pun, ia akan diterima masuk ke  dalam kumpulan masyarakat Islam bila ia menerima dan mengakui akan  Islam. Akan tetapi, seseorang itu akan disingkirkan daripada masyarakat  Islam apabila ia menolak dan menidakkan Islam walaupun ia adalah anak  seorang alim ulama ataupun ustaz
Sekarang fahamlah kita bahawa  nikmat serta kurnia terbesar Allah Subha Nahu Wa Ta’ala kepada kita  ialah Islam. Ia bukanlah sampai kepada kita atas sebab keturunan atau  bangsa. Ia bukanlah suatu benda yang secara spontan sahaja berada pada  kita samada kita ambil peduli atau tidak. Islam adalah suatu nikmat yang  kita perlu diusahakan untuk mendapatkannya. Jika kita berusaha  bertungkus-lumus untuk mendapatkannya, kita akan layak menerimanya. Akan  tetapi, jika kita tidak memperdulikannya, maka nikmat yang paling  berharga ini adakan ditarik balik daripada kita. Na’uzubilla  himinzalik-Semoga Allah menjauhkan hal demikian daripada kita.
Erti menerima Islam
Kita semua sekarang sudah tahu  bahawa seseorang itu Muslim bila ia menerima Islam. Walaubagaimanapun,  satu tanda tanya timbul di kepala kita. Apakah erti menerima Islam itu?  Bagaimanakah kita boleh dianggap atau dikatakan telah menerima Islam?  Memadaikah kita ini dikatakan menerima Islam dengan hanya berkata: “Saya  telah menjadi seorang Islam atau saya telah menerima Islam?”
Adakah seseorang itu dikatakan  menerima Islam bila ia boleh melafazkan beberapa patah perkataan Arab  tanpa memahami maksudnya sebagaimana seorang Hindu membaca beberapa ayat  mentera Sanskrit yang dia sendiri tidak mengerti? Jawapan kita sudah  tentu begini: “Seseorang itu dikatakan menerima Islam apabila ia  menerima keIslamannya itu dengan sedar (siuman) dan sengaja (tanpa  paksaan) dan beramal serta bertindak sesuai dengan kehendak Islam itu  sendiri.”
Apakah itu KUFUR dan apakah itu ISLAM ?
Kufur bererti keengganan manusia  untuk melaksanakan perintah-perintah Allah. Islam bererti ketaatan  kepada Allah sahaja. Islam bererti keengganan kita untuk mengakui  (menerima) segala cara-cara (sistem-sistem), undang-undang serta  peraturan-peraturan yang bertentangan dengan panduan-panduan Allah.  Perbezaaan Islam dan Kufur ini telah diterangkan di dalam al Quran.  Firman Allah :
“ Barangsiapa yang tidak memutuskan menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang kafir.”
(Al-Maaidah : 44)
Memutuskan sesuatu atau  menghakimkan sesuatu, tidak semestinya dilakukan (dengan berpandukan  Kitabullah) terhadap kes-kes dimahkamah sahaja. Sebenarnya hal ini  dilakukan pada setiap kali seorang itu perlu membuat keputusan. Juga  pada setiap ketika di dalam hidup seseorang itu yang memerlukan  perlaksanaan sesuatu keputusan.
Kerap kali timbul keadaan di  mana kita terpaksa membuat keputusan samada hendak melaksanakan sesuatu  perkara atau tidak ? Kadang-kadang kita juga terpaksa memikirkan cara  bagaimana sesuatu perkara itu patut dijalankan. Juga kadangkala timbul  persoalan samada hendak menggunakan cara ini atau cara yang itu bagi  menyelesaikan sesuatu perkara. Cara untuk kita mencapai suatu keputusan  di dalam semua keadaan tadi telah termaktub di dalm Kitabullah (iaitu Al  Quran) dan sunnah Rasulullah SAW. Cara yang lain dari cara tersebut  ialah cara yang hanya digerakkan oleh nafsu tamak, adat turun temurun  (ancenstral customs) atau undang-undang buatan manusia. Kalau seseorang  itu mengenepikan cara (sistem) yang telah disarankan oleh Allah SWT  dengan mengambil cara yang lain untuk tindakannya, maka sebenarnya ia  sedang mengikuti jalan (wasilah) kekufuran.
Jika ia mengambil jalan  kekufuran tadi untuk keseluruhan hidupnya, maka ia adalah kafir yang  sepenuhnya. Jika ia mentaati panduan-panduan Allah dalam menyelesaikan  beberapa perkara akan tetapi di dalam beberapa perkara yang lain kita  memberi keutamaan kepada nafsu kita atau kepada adat-adat jahiliyyah  kuno atau kepada undang-undang buatan manusia untuk menyelesaikannya,  maka ini bermakna kita telah melibatkan diri kita ke dalam kancah  kekufuran pada peringkat seorang penderhaka. Seseorang boleh menjadi  kafir separuh (1/2) atau satu suku (1/4) atau satu persepuluh (1/10)  atau satu perduapuluh (1/20). Ringkasnya, kekufuran itu dikira mengikut  sejauhmana ia telah menderhaka terhadap undang-undang atau peraturan  Allah.
Islam ialah perhambaan  (sepenuhnya) manusia terhadap Allah SWT. Ini bermakna ia tidak menjadi  hamba kepada dirinya; nenek moyangnya; atau keluarganya; dan bangsanya;  atau tuan guru dan ulamaknya; atau tuan tanah dan tuan hakimnya dan tuan  pemungut cukainya. Ianya adalah perhambaan kepada Allah SWT sahaja.
