Bagaimanakah kita hendak menjadi seorang Muslim yang sebenar? Ini memerlukan satu penelitian yang teliti dan butir-butir yang terang.
Sekarang mari kita tumpukan pemikiran kita untuk memahami apakah erti perkataan ‘Muslim’ itu. Adakah manusia menjadi Islam kerana ia dilahirkan dalam Islam? Adakah Muslim itu nama bagi sesuatu bangsa?
Adakah seseorang itu menjadi Muslim dengan sebab ia adalah anak atau cucu bagi seorang Muslim? Adakah seseorang itu diperanakkan sebagai Muslim sebagaimana seorang anak Hindu diperanakkan sebagai Hindu? Adakah Muslim ini nama sesuatu kasta atau kelas seperti yang terdapat pada orang-orang Hindu? Adakah kita Muslim sebab kita dilahirkan di dalam masyarakat yang dipanggil masyarakat Muslim? Apakah jawaban kita? Jawaban kita sudah tentu tidak. Orang yang sedemikian bukanlah Muslim yang sebenarnya. Seseorang itu Muslim sebab ia menerima Islam. Kalau ia menolak Islam, ia bukan lagi Muslim. Samada seseorang itu orang Brahmin, atau Inggeris, atau Negro atau Cina, atau apa-apa bangsa sekali pun, ia akan diterima masuk ke dalam kumpulan masyarakat Islam bila ia menerima dan mengakui akan Islam. Akan tetapi, seseorang itu akan disingkirkan daripada masyarakat Islam apabila ia menolak dan menidakkan Islam walaupun ia adalah anak seorang alim ulama ataupun ustaz
Sekarang fahamlah kita bahawa nikmat serta kurnia terbesar Allah Subha Nahu Wa Ta’ala kepada kita ialah Islam. Ia bukanlah sampai kepada kita atas sebab keturunan atau bangsa. Ia bukanlah suatu benda yang secara spontan sahaja berada pada kita samada kita ambil peduli atau tidak. Islam adalah suatu nikmat yang kita perlu diusahakan untuk mendapatkannya. Jika kita berusaha bertungkus-lumus untuk mendapatkannya, kita akan layak menerimanya. Akan tetapi, jika kita tidak memperdulikannya, maka nikmat yang paling berharga ini adakan ditarik balik daripada kita. Na’uzubilla himinzalik-Semoga Allah menjauhkan hal demikian daripada kita.
Erti menerima Islam
Kita semua sekarang sudah tahu bahawa seseorang itu Muslim bila ia menerima Islam. Walaubagaimanapun, satu tanda tanya timbul di kepala kita. Apakah erti menerima Islam itu? Bagaimanakah kita boleh dianggap atau dikatakan telah menerima Islam? Memadaikah kita ini dikatakan menerima Islam dengan hanya berkata: “Saya telah menjadi seorang Islam atau saya telah menerima Islam?”
Adakah seseorang itu dikatakan menerima Islam bila ia boleh melafazkan beberapa patah perkataan Arab tanpa memahami maksudnya sebagaimana seorang Hindu membaca beberapa ayat mentera Sanskrit yang dia sendiri tidak mengerti? Jawapan kita sudah tentu begini: “Seseorang itu dikatakan menerima Islam apabila ia menerima keIslamannya itu dengan sedar (siuman) dan sengaja (tanpa paksaan) dan beramal serta bertindak sesuai dengan kehendak Islam itu sendiri.”
Apakah itu KUFUR dan apakah itu ISLAM ?
Kufur bererti keengganan manusia untuk melaksanakan perintah-perintah Allah. Islam bererti ketaatan kepada Allah sahaja. Islam bererti keengganan kita untuk mengakui (menerima) segala cara-cara (sistem-sistem), undang-undang serta peraturan-peraturan yang bertentangan dengan panduan-panduan Allah. Perbezaaan Islam dan Kufur ini telah diterangkan di dalam al Quran. Firman Allah :
“ Barangsiapa yang tidak memutuskan menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang kafir.”
(Al-Maaidah : 44)
Memutuskan sesuatu atau menghakimkan sesuatu, tidak semestinya dilakukan (dengan berpandukan Kitabullah) terhadap kes-kes dimahkamah sahaja. Sebenarnya hal ini dilakukan pada setiap kali seorang itu perlu membuat keputusan. Juga pada setiap ketika di dalam hidup seseorang itu yang memerlukan perlaksanaan sesuatu keputusan.
Kerap kali timbul keadaan di mana kita terpaksa membuat keputusan samada hendak melaksanakan sesuatu perkara atau tidak ? Kadang-kadang kita juga terpaksa memikirkan cara bagaimana sesuatu perkara itu patut dijalankan. Juga kadangkala timbul persoalan samada hendak menggunakan cara ini atau cara yang itu bagi menyelesaikan sesuatu perkara. Cara untuk kita mencapai suatu keputusan di dalam semua keadaan tadi telah termaktub di dalm Kitabullah (iaitu Al Quran) dan sunnah Rasulullah SAW. Cara yang lain dari cara tersebut ialah cara yang hanya digerakkan oleh nafsu tamak, adat turun temurun (ancenstral customs) atau undang-undang buatan manusia. Kalau seseorang itu mengenepikan cara (sistem) yang telah disarankan oleh Allah SWT dengan mengambil cara yang lain untuk tindakannya, maka sebenarnya ia sedang mengikuti jalan (wasilah) kekufuran.
Jika ia mengambil jalan kekufuran tadi untuk keseluruhan hidupnya, maka ia adalah kafir yang sepenuhnya. Jika ia mentaati panduan-panduan Allah dalam menyelesaikan beberapa perkara akan tetapi di dalam beberapa perkara yang lain kita memberi keutamaan kepada nafsu kita atau kepada adat-adat jahiliyyah kuno atau kepada undang-undang buatan manusia untuk menyelesaikannya, maka ini bermakna kita telah melibatkan diri kita ke dalam kancah kekufuran pada peringkat seorang penderhaka. Seseorang boleh menjadi kafir separuh (1/2) atau satu suku (1/4) atau satu persepuluh (1/10) atau satu perduapuluh (1/20). Ringkasnya, kekufuran itu dikira mengikut sejauhmana ia telah menderhaka terhadap undang-undang atau peraturan Allah.
Islam ialah perhambaan (sepenuhnya) manusia terhadap Allah SWT. Ini bermakna ia tidak menjadi hamba kepada dirinya; nenek moyangnya; atau keluarganya; dan bangsanya; atau tuan guru dan ulamaknya; atau tuan tanah dan tuan hakimnya dan tuan pemungut cukainya. Ianya adalah perhambaan kepada Allah SWT sahaja.